Mayat mangsa bunuh ditemui dalam kebun getah

Anuar Othman
Anuar Othman
A
A
A

GERIK - Mayat lelaki tanpa identiti dipercayai dibunuh ditemui di kawasan semak berpaya dalam kebun getah di Padang Semai, Kuala Rui di sini pada Sabtu.

Mangsa dipercayai warga Myanmar berusia lingkungan 30an itu ditemukan dengan kesan darah di kepala dan badan disyaki dipukul oleh seorang lelaki tempatan yang kebetulan mahu masuk ke kawasan kebunnya sekitar jam 6.45 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, terdapat beberapa kesan tetakan pada tubuh mangsa antaranya di kepala, dahi dan siku hingga menampakkan tulang.

"Turut dijumpai bersama mangsa adalah topi keledar, sehelai baju berwarna coklat dan sepasang selipar berwarna hitam.

"Bagaimanapun, Unit Anjing Pengesan (K9) yang menjalankan siasatan sekitar kawasan kebun berhampiran, tidak menjumpai sebarang petunjuk berkaitan kes ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

"Mangsa disyaki warga asing kerana tidak mempunyai tanda suntikan BCG pada lengannya," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan saksi awam, pada jam lebih kurang 3 petang semasa melalui tempat kejadian, saksi telah melihat sebuah motosikal dalam keadaan terbalik di tepi laluan kebun itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sekitar jam 6.45 petang hari yang sama, saksi telah melalui jalan tersebut untuk pulang dan telah terlihat mangsa berada di tepi jalan dengan kesan darah.

"Saksi telah memaklumkan kejadian tersebut kepada pemilik kebun lain di kawasan itu.

"Mayat mangsa telah ditempatkan di Hospital Gerik untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.