PBS idam kerusi Parlimen Tuaran

Maximus ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Tamparuli, di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli, Tuaran, pada Ahad.
Maximus ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Tamparuli, di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli, Tuaran, pada Ahad.
A
A
A

TUARAN - Parti Bersatu Sabah (PBS) mahukan kerusi Parlimen Tuaran dan akan merebutnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, kerusi Parlimen Tuaran sudah lama mencuri perhatian parti memandangkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah menjadi milik PBS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

"Tamparuli adalah satu kawasan menunjukkan PBS terus menjadi pilihan rakyat di sini begitu juga di Kiulu. Sangat penting bagi kami untuk kukuhkan bahagian dan cawangan di kedua-dua DUN ini.

"Kami jangka pilihan raya Parlimen paling lewat tahun depan dan kawasan Tuaran adalah kawasan kami idam-idamkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Tamparuli, di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli, pada Ahad.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli merangkap Ketua Bahagian PBS Tamparuli, Datuk Jahid Jahim dan ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

Parlimen Tuaran ketika ini disandang oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang menang atas tiket Barisan Nasional pada PRU14.

Madius kemudian keluar daripada rakan komponen BN apabila UMNO tumbang dan beralih sokongan kepada Parti Warisan-Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu Maximus yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah ketika ini sangat kuat dan sebagai parti dalam gabungan itu ia akan terus dipertahankan.

Artikel Berkaitan:

"Saat ini sokongan sangat bagus pada kerusi DUN yang dimenangi oleh parti-parti dalam GRS. Ini akan terus dipertahankan dan dimenangi dalam pilihan raya.

"Melalui GRS sudah tentu kita mahu bawa pembangunan kepada rakyat. Saya yakin GRS akan memperbaharui komitmen membawa pembangunan kepada semua kawasan DUN dan Parlimen Tuaran," katanya.