Pengamal media sambilan disaran carum Perkeso

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengamal media khususnya yang berstatus sambilan di negara ini disaran mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mendapatkan manfaat perlindungan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) itu akan melayakkan mereka menerima pelbagai manfaat antaranya faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara dan faedah hilang upaya kekal.

"SKSPS ini bermatlamat memberi perlindungan kepada orang berinsurans bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan pekerjaan. Ini bagi membolehkan wartawan sambilan dilindungi di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

"Menerusi Bajet 2022 Keluarga Malaysia, SKSPS menyediakan bantuan menerusi SPS Padanan Caruman yang menyaksikan kerajaan menyediakan bantuan padanan caruman sebanyak 80 peratus iaitu RM186.20 ditanggung oleh kerajaan dan hanya 20 peratus iaitu RM46.60 perlu dibayar oleh orang bekerja sendiri,” katanya pada program Perkeso bersama pengamal media utara di sini pada Ahad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Romani Wan Salin serta Pengarah Perkeso Kedah, Mohamad Haron Othman.

Awang juga berkata, program hari ini bertujuan membantu pengamal media sambilan di Kedah dan Perlis untuk dilindungi di bawah SPS Padanan Caruman bagi kumpulan sasaran SPS Seni.

"Kerajaan bayar 80 peratus dan wartawan perlu bayar 20 peratus. Tetapi untuk hari ini, saya akan menaja bayaran 20 peratus caruman bagi pihak pekerja untuk setiap wartawan sambilan yang hadir pada program ini.

"Saya minta semua wartawan carumlah kerana jumlah bayaran tidak banyak tetapi manfaatnya sangat besar kepada diri sendiri serta waris sekiranya berlaku kemalangan semasa menjalankan kerja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata Perkeso akan terus menjalankan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran golongan bekerja sendiri untuk mencarum di bawah inisiatif SKSPS agar jaringan dan perlindungan keselamatan sosial mereka lebih terjamin. - Bernama