Mayat Haziq dikenal pasti melalui DNA

Mujahid ketika bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mujahid ketika bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SEPANG - Mayat Allahyarham Muhammad Haziq Mohd. Tarmizi, 17, yang disahkan antara 50 yang terkorban dalam tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu dikenal pasti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, perkara itu dimaklumkan kepada pihaknya namun maklumat lanjut mengenai perkara tersebut belum diperolehi.

Sehubungan itu katanya beliau yang dilantik sebagai wakil rasmi kerajaan Malaysia ke New Zealand akan menemui keluarga terlibat dan kerajaan New Zealand bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

“Tiada maklumat lengkap kami cuma dimaklumkan ianya hasil DNA. Sebelum ini kita hanya agak sama ada yang meninggal itu adalah Haziq yang dikatakan dia melarikan diri dari masjid itu. Tapi sebenarnya dia sepanjang masa ada di situ.

ARTIKEL BERKAITAN: Haziq, damailah kau di sana...

"Setelah dicam dengan DNA, maka memang telah pasti yang meninggal itu adalah Muhammad Haziq. Cuma butiran yang terjadi selama itu kami belum diberi maklumat apa-apa," katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebentar tadi.

Mujahid berkata, pemergian beliau ke negara tersebut adalah untuk bertemu keluarga mangsa terlibat selain menemui kerajaan New Zealand untuk mengucapkan takziah atas peristiwa hitam yang berlaku serta mengucapkan terima kasih kerana menguruskan rakyat Malaysia terlibat.

Selain itu beliau juga meminta masjid-masjid di seluruh negara mengadakan solat jenazah ghaib selepas selesai solat Jumaat esok bagi mangsa yang terkorban.

Artikel Berkaitan:

Pada sidang media yang sama Mujahid turut meminta rakyat Malaysia untuk sama-sama menyertai perhimpunan Solidariti Kedamaian yang bakal dianjurkan Sabtu ini.

Mengulas mengenai permit perhimpunan yang bakal diadakan di Dataran Merdeka itu, Mujahid berkata, perkara itu telah diselesaikan dan perhimpunan itu boleh dianjurkan seperti dirancang.

Isu permit itu sebelum ini menjadi pertikaian selepas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana gagal membuat permohonan itu dalam masa 10 hari.

Perhimpunan aman solidariti demi kedamaian dan menolak kebencian itu akan bermula di hadapan pusat beli-belah Sogo pada jam 7 pagi, sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka.

Menurut Mujahid, perhimpunan itu bertujuan menunjukkan kepada dunia yang Malaysia menolak fahaman kebencian serta sebagai tanda solidariti kepada mangsa serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand.