PM tiba di Vietnam untuk lawatan rasmi

Ismail Sabri disambut Tran Van Son selaku menteri pengiring ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noibai Hanoi, Vietnam pada Ahad. - Foto: Bernama
Ismail Sabri disambut Tran Van Son selaku menteri pengiring ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noibai Hanoi, Vietnam pada Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A

HANOI - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di sini untuk lawatan rasmi dua hari ke Vietnam, yang akan menyaksikan kedua-dua negara saling bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Ismail Sabri yang menaiki pesawat dari Kuala Lumpur tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hanoi di sini pada jam 1.45 tengah hari (2.45 petang waktu Malaysia) dan disambut Pengerusi Kerajaan Vietnam, Tran Van Son selaku menteri pengiring.

Turut menyambut ketibaan Ismail Sabri yang mengadakan lawatan sulungnya ke negara itu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan beberapa pegawai kanan.

Sejurus tiba beliau akan mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat Vietnam yang mempunyai kepentingan di Malaysia dan yang berhasrat untuk mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia termasuk dalam bidang pelaburan.

Selepas itu beliau dijadualkan bertemu Keluarga Malaysia yang berada di Hanoi.

Pada hari kedua, majlis sambutan rasmi akan diadakan di Istana Presiden Vietnam dan diikuti dengan sesi bergambar Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Vietnam.

Kedua-dua pemimpin itu kemudiannya akan mengadakan perbincangan dan diikuti sesi pertukaran dokumen sebelum majlis makan tengah hari.

Dokumen itu adalah memorandum persefahaman (MoU) berhubung perundangan, MoU berkaitan kerjasama perburuhan, surat niat antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negara Malaysia dengan Akademi Diplomasi Vietnam dan pertukaran dokumen antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Vietnam (VNA).

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri juga dijangka membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc diikuti kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong dan kemudiannya bertemu Pengerusi Dewan Rakyat (Chairman of the National Assembly), Vuong Dinh Hue.

Ismail Sabri akan berlepas pulang ke Malaysia pada Selasa pagi selepas mengadakan sidang media bersama media Malaysia. - Bernama