Pas Sabah akan bertemu Hajiji berhubung kedudukan parti dalam GRS

Aliakbar menyempurnakan gimik perasmian Program Tukar Minyak Enjin, di pekarangan Surau Austral, Kota Kinabalu.
Aliakbar menyempurnakan gimik perasmian Program Tukar Minyak Enjin, di pekarangan Surau Austral, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pas Sabah akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berhubung kedudukan parti itu di dalam GRS.

Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, pertemuan yang akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung kandungan gabungan itu yang sudah didaftarkan baru-baru ini.

Katanya, secara prinsipnya penubuhan GRS telah dipersetujui seluruh parti komponen yang berada di dalamnya yang dibentuk sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

"Bagaimanapun, kita daripada pihak Pas melihat perkembangan semasa ini sebagai satu perkara yang kita perlu teliti semula dan di peringkat Pas Sabah akan bertemu sendiri dengan Pengerusi GRS sebab kita pun mendapat maklumat hanya melalui media.

"Kita akan bertemu dengan Ketua Menteri secara bersemuka untuk membincangkan dan memperincikan kandungan GRS yang sudah didaftarkan dan juga bagaimana kedudukan Pas Sabah dalam GRS," katanya selepas merasmikan Program Tukar Minyak Enjin, di pekarangan Surau Austral, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan Pas Sabah di dalam GRS selepas Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah mengumumkan hanya empat parti yang menganggotai gabungan itu pada Jumaat lalu.

Diminta mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa di peringkat Pusat, Pas adalah sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) bagaimanapun untuk GRS sejak dari awal Pas Sabah menyokong sepenuhnya untuk tujuan pendaftarannya.

"Sebab itu kita mahu tengok kedudukan kita bagaimana, adakah kita di kalangan yang berada di luar kerana kita masih berada di dalam komponen PN bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat Pusat.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita mengambil keputusan untuk bertemu dengan Datuk Seri Hajiji tetapi secara prinsipnya kita dengan PN dan kita tidak terpisah daripada komponen Bersatu, cuma dari segi struktur GRS kita tidak mendapat sebarang maklumat yang lebih tepat," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, tidak mahu menjadikan perkara ini sebagai punca berlakunya salah faham dalam rakan komponen di negeri ini.

"Kita tidak mahu menggunakan perkataan 'disisihkan' kerana kita tidak mahu juga bertelingkah sebab itu di kalangan rakan yang kita sudah persetujui tetapi seperti yang dikatakan tadi, kita akan bersemuka untuk membincangkan perkara ini," tegasnya.

Jumaat lalu, Hajiji mengumumkan GRS kini dianggotai empat parti iaitu Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).