Wacana sastera Melayu mutakhir

Banyak novel hanya sekadar kewujudan dan kurang memberi impak, malah banyak yang bersifat sederhana dan popular. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
Banyak novel hanya sekadar kewujudan dan kurang memberi impak, malah banyak yang bersifat sederhana dan popular. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

TIGA orang tokoh sastera datang ke rumah saya. Selain untuk berziarah, juga bersembang-sembang tentang dunia sastera. Agak menarik, beberapa subjek mutakhir seperti situasi pengkaryaan terkini, dunia kritikan, masalah penciplakan, intertekstualiti, parodi, kepengaruhan dan sastera global menjadi bahan perbualan.

Ketiga-tiga tokoh bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu Saifulizan Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera; Shahrun Nizal Mohd Nor, penyelidik sastera dan Nur Muhamad Fansuri, Bahagian Buku Umum. Terkenal sebagai cerpenis, penyair dan pengkritik, Saifulizan adalah antara barisan pengarang tanah air yang mempunyai kekuatan dan kedudukan.

Shahrun Nizal sedang menggilap nama dalam dunia esei dan kritikan, buku pertamanya telah diterbitkan Fikrah Sastera (2021). Nur Muhamad juga seorang pengarang esei, sebelum itu bertugas sebagai editor sastera, antara hasil suntingannya ialah Gunung Cha karya Malim Ghazali Pk (2020).

Saifulizan menjelaskan tidak ada lagi novel yang menjadi identikal zaman seperti yang dihasilkan oleh Shahnon Ahmad, Arena Wati dan Anwar Ridhwan. Banyak novel hanya sekadar kewujudan dan kurang memberi impak, malah banyak yang bersifat sederhana dan popular. Siapakah yang hendak kita namakan novelis besar selepas Anwar Ridhwan dengan Naratif Ogonshoto (2001) dan Penyeberang Sempadan (2012)?

Begitu juga berlaku kebanjiran dalam penghasilan puisi. Di sana sini dianjurkan pembacaan dan pendek-lamasian. Sangat menarik kegiatan memasyarakatkan puisi, yang berjalan dengan cemerlang. Resepsi khalayak sangat mensejarahkan. Cuma, yang belum terfikirkan ialah melakukan pengkayaan daripada aspek estetik dan kualiti puitikanya. Malah, belum ada aspek perlanggaran terhadap puisi Muhammad Haji Salleh, Kemala atau Zurinah Hassan. Bagaimanapun, ketiga-tiga tokoh ada membincangkan dalam kalangan penulis muda puisi tanah air terkini, merujuk karya penyair T Alias Taib.

Bercakap tentang genre cerpen, pelayarnya terkini antaranya ialah Mawar Shafie, Marsli N O dan Wan Nor Azriq dengan kapal penciptaannya mengharungi lautan yang menjanjikan masa depan cemerlang untuk sastera Melayu. Tiga nama yang sudah dianggap besar ialah Zaen Kasturi, Zainal Rashid Ahmad dan S M Zakir. Saifulizan menjelaskan, ketiga-tiganya adalah penyambung kepada tradisi teks absurd dan eksistensialisme yang kami lakukan pada tahun 1970-an.

Tetapi, dunia dramalah pada hari ini agak sepi, tidak seperti dekad-dekad yang terdahulu. Amat terasa kini kurangnya pementasan dan sangat sedikit bertemu dengan skrip-skrip yang bermutu. Lalu dunia drama dan teater merindui skrip-skrip dan pementasan yang dapat memberikan nafas baharu kepada budaya pendramaan.

Namun, permasalahan kritikanlah yang sangat terasa kesunyian, membawa rasa cemas, bimbang dan pelbagai keraguan. Kritikan yang lesu, tidak berupaya memberi sumbangan ke arah perkembangan sastera yang dinamik.

Artikel Berkaitan:

Ketiga-tiga tokoh itu bersetuju menyatakan sesuatu usaha harus dilakukan terhadap kritikan, yang menimbulkan aporia semacam ketidakpastian, supaya ia bersifat fungsional dan relevan dengan zamannya. Dalam konteks ini, saya pernah menyatakan, pengarang hari ini jangan terlalu mengharap kepada pengkritik yang sudah veteran, mereka harus melahirkan pengkritik dalam kalangan mereka sendiri.

Pengkritik itu lebih memahami naratif, puitika dan dramatika zamannya. Sayangnya, bakal pengkritik pascaijazah di menara gading masih tidur lena.

Ketiga-tiganya mengutuk kerja ciplakan. Menurut Saifulizan, sebenarnya banyak berlaku pencurian ini. Beberapa nama pengarang yang sudah besar ternyata melakukannya tetapi mereka terselamat. Tidak ada yang memecahkannya atau didiamkan kerana yang melakukannya adalah tokoh.

Lebih selamat melakukan intertekstualiti, parodi atau kepengaruhan. Ambillah sebanyaknya daripada teks yang sedia ada tetapi diolah semula sehingga berwajah baharu dan memperlihatkan keaslian acuan sendiri. Itulah ajaran Krestiva intertekstualiti, yang bergema di seluruh dunia, dan menjadi salah satu pembentuk sastera pascamoden.

Parodi membayangi peminjaman daripada sebuah hiperteks, dikaryakan semula dengan tujuan pembaikan, penyempurnaan dan bersifat sinikal. Kunci yang membuka gerbang parodi ialah menghormati karya asal, menstrukturnya semula dengan mewujudkan makna kebalikannya atau menafikan signifikasinya.

Tidak kurang pula terkesan ialah unsur kepengaruhan dalam sastera Melayu. Saifulizan atas bacaannya, menemui teks Sri Sumarah dan Bawuk (1975) dan Seribu Kunang-kunang di Manhattan (1999) karya Umar Kayam Indonesia, mempengaruhi seorang sasterawan tanah air.

Sementara Muhammad Haji Salleh terpengaruh dengan puisi Pablo Neruda, penghasil 100 Love Sonnets, penerima Anugerah Noble, 1971.

Kepengaruhan dikonkretisasikan oleh Harold Bloom sebagai teori sastera revisionisme. Sewaktu karya ditulis, bersembunyi sebuah teks idola di belakangnya. Pengarang telah menelaah dan memperbaharuinya dalam segala aspek tekstual dan kontekstual. Kreativiti pengarang berlaku dalam penstrukturan dan pemberian makna baharu. Kepengaruhan bersifat positif tetapi menjadi negatif apabila seseorang itu selamanya terperangkap di bawah bayang-bayang idolanya itu.

Di luar jangkaan, apabila ketiga-tiganya menyatakan tertarik dengan teks-teks metasejarah yang saya cuba genrekan. Teks tanpa kronologikal peristiwa, menumpukan kepada gagasan kekuasaan, political dimension, menggali semula perwatakan mengikut pusat watak seperti yang dianjurkan oleh Derrida dalam teori dekonstruksi. Di dalamnya dimasukkan unsur-unsur kits, pastis dan lotta tanpa formalisasi teks. Di Hujung Taming Sari (2020) adalah 10 buah drama metasejarah itu.

Shahrun Nizal menghadiahi saya bukunya Fikrah Sastera (2021). Mengandungi sembilan buah kritikan dan lapan buah esei wacana sastera. Mengaplikasikan pelbagai teori seperti teksdealisme, taabudiyah, stilistik, intertekstualiti, semiotik, estetika dan teori pascamoden lainnya.

Dengan analisisnya yang lekat pada teks, berhujah dengan rasional membina pembuktian yang tepat, mengangkatnya menjadi kerja kritikan yang berwibawa. Wacana sasteranya pula masuk ke subjek yang rumit dan bermasalah seperti sastera siber, teks eksperimental, kedudukan bahasa Melayu dan pengunggulan khalayak.

Namun, ia banyak tertumpu pada pembinaan sastera remaja seperti menunjukkan betapa perlunya para pelapis itu menguasai aspek kepengarangan, termasuklah teori sastera yang akan membimbing mereka ke arah pemantapan karya.

Begitulah sembang-sembang sastera menghampiri empat jam itu, sekurang-kurangnya dapat membaca situasi sastera Melayu mutakhir. Terima kasih kepada ketiga-tiganya yang sudi bertandang dan berbual-bual mesra.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia