Luqman mahu lupakan memori AFF 2020

Luqman ketika menjalani latihan bersama pemain Harimau Malaya lain di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto FAM
Luqman ketika menjalani latihan bersama pemain Harimau Malaya lain di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto FAM
A
A
A

PEMAIN Harimau Malaya, Luqman Hakim Samsudin berazam melupakan memori pahit pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 lalu dengan memberikan aksi terbaik pada aksi persahabatan antarabangsa di Singapura.

Malah menurut pemain berusia 20 tahun itu, dia juga berazam memperbaiki segala kelemahan dalam aksi persahabatan berkenaan.

“Ini merupakan tugasan ketiga saya bersama skuad senior, sebelum ini saya sudah main di Dubai (aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023) serta Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

“Insya-ALLAH, saya akan perbaiki kelemahan-kelemahan saya terutama pada saingan Piala Suzuki AFF 2020. Saya tahu kelemahan saya dan saya akan belajar daripada kesemua kesilapan tersebut.

“Lagi pun, saya tidak berpuas hati dengan prestasi pada masa itu. Jadi, saya kena baiki prestasi,” katanya pada sidang akhbar sempena sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Untuk rekod, sesi latihan dikendalikan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon itu sebagai persediaan untuk aksi persahabatan antarabangsa skuad Harimau Malaya yang dijadualkan berlangsung di Singapura mulai 23 Mac.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan berdepan skuad kebangsaan Filipina pada 23 Mac sebelum berdepan Singapura (26 Mac) dan kelab Liga Singapura (Liga-S), Albirex Niigata FC (28 Mac).

Difahamkan aksi persahabatan berkenaan merupakan sebahagian persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil mulai 8 hingga 14 Jun depan.

Artikel Berkaitan:

Pada aksi kelayakan berkenaan, skuad negara yang beraksi dalam Kumpulan E bakal berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Mengulas mengenai sesi latihan di bawah kendalian Pan-gon, Luqman berkata, latihan berkenaan dikendalikan dengan intensiti tinggi.

Malah katanya, banyak perkara baharu yang dipelajari hasil daripada latihan berintensiti tinggi berkenaan.

“Bagi saya, jurulatih baharu ini, enjoylah training dengan dia, banyak belajar benda baharu termasuk perkara luar biasa. Apa pun bagi saya, latihan yang dikendalikan sama sahaja dengan latihan yang saya ikuti di Eropah (Belgium),” katanya.