UMNO tekad jadi pencetus perubahan politik untuk disokong rakyat

Ahmad Zahid dalam sidang media selepas penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu. - Foto Bernama
Ahmad Zahid dalam sidang media selepas penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO bertekad untuk menjadi pencetus perubahan dalam landskap politik tanah air bagi memastikan parti itu terus relevan dan disokong rakyat termasuk generasi muda.

Berucap di hadapan kira-kira 2,600 perwakilan, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencetus perubahan itu yang menuntut peralihan kepada pendekatan parti turut akan membolehkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali menjadi kerajaan dominan.

"Kita wajib menukarkan watak-watak (lama) itu kerana orang Melayu telah mula berpendidikan, terbuka pemikiran dan minda serta mengharapkan kepada UMNO dan BN untuk memerintah dan dominan semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang dan seterusnya.

"Mereka mengharapkan kita dan oleh sebab itu jika kita tidak menukar minda maka kita dianggap tidak berubah. Apabila tidak berubah, kita khuatir kita akan rebah... jadi dalam keadaan itulah saya merasakan apa sahaja yang mahu kita lakukan, kita kena fikirkan bukan diri kita sahaja tetapi fikirkan beberapa pencetus perubahan yang rakyat tunggu,” katanya pada ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO di sini pada Sabtu.

Bagi menjamin penguasaan BN seperti mana yang dikecapi pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, beliau yang juga Pengerusi BN berkata, gabungan parti itu akan mengemukakan 70 peratus muka baharu sebagai calon pada PRU15.

Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa ahli parti termasuk mereka yang berumur 50 tahun ke bawah akan dipilih menjadi calon sekiranya memenuhi kriteria 'WALI' yang ditetapkan iaitu boleh menang (winnable), boleh diterima (acceptable), dan disukai (likeable).

"Jangan risau Ketua-Ketua Bahagian... mana-mana yang di bawah 50 tahun itu kalau termasuk dalam konsep WALI insya-ALLAH akan masuk. Jangan khuatir Pemuda, Puteri dan Wanita insya-ALLAH pasukan kami akan tentukan bahawa ketiga-tiga sayap diberikan tempat.

"Saya memohon sidang perwakilan bersama-sama dengan saya untuk melihat pencetus perubahan walaupun bukan mudah untuk dilakukan tetapi saya yakin boleh dilakukan,” katanya dan menerima tepukan gemuruh perwakilan.

Artikel Berkaitan:

Berhubung kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO yang akan membincangkan soal pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 bersama pucuk pimpinan, Ahmad Zahid berkata, ia sekali gus menggambarkan bahawa perhimpunan parti hari ini berkemungkinan yang terakhir sebelum pilihan raya.

"Apa yang disebutkan oleh PM (Perdana Menteri) tadi, saya bukan nujum Pak Belalang tapi saya yakin bahawa dengan pengumuman itu, Insya-ALLAH ini mungkin perhimpunan agung UMNO yang terakhir sebelum pilihan raya dan sebagai perhimpunan yang terakhir, mari kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT,” katanya yang kemudian memimpin bacaan doa dan diaminkan para perwakilan.

Pada perhimpunan itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut merakam penghargaan buat bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad yang disifatkannya berjiwa besar serta memberi banyak sumbangan kepada parti.

Perhimpunan Agung UMNO berakhir pada Sabtu setelah berlangsung selama empat hari bermula Rabu dengan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri disusuli perhimpunan penuh ketiga-tiga sayap keesokan hari.

Ia diteruskan dengan perasmian oleh Ahmad Zahid pada Jumaat diikuti sesi perbahasan ucapan dasar presiden oleh 18 perwakilan. - Bernama