Siasatan RCI TH dijangka selesai hujung Julai

Proses siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka dapat diselesaikan penghujung Julai ini. - Gambar hiasan
Proses siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka dapat diselesaikan penghujung Julai ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka dapat diselesaikan penghujung Julai ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, siasatan telah bermula Januari lalu dan kerajaan tidak akan menyembunyikan apa-apa mengenainya.

"Kita tubuhkan RCI TH. Saya percaya siasatan ini dapat diselesaikan penghujung Julai ini," kata Naib Presiden UMNO itu ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Pada 19 Januari lalu, kerajaan mengumumkan pelantikan enam ahli RCI diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit berkaitan TH dalam tempoh 2014 hingga 2020.

Ismail Sabri menegaskan, kerajaan menubuhkan jawatankuasa yang berkaitan termasuk RCI TH bagi menegakkan keadilan dan menunjukkan ketelusan kepada rakyat.

Menurut beliau, selain RCI TH, jawatankuasa khas juga telah pun ditubuhkan pada Oktober 2021 bagi menyiasat pendedahan buku bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

"Pasukan Petugas Khas (PPK) sedang mengambil tindakan termasuk memanggil pihak yang terlibat. Laporan interim akan dibentangkan pada bulan depan.

"Saya janji jika ada penyalahgunaan kuasa, konspirasi terpilih seperti yang didakwa, kita akan ambil tindakan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri menambah, kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim sedang disiasat secara menyeluruh dan telus serta diberikan pembelaan sewajarnya.

Jelas beliau, jawatankuasa khas siasatan telah membentangkan laporan interim pada 15 Mac lalu.

"Walaupun siasatan masih berjalan tetapi kerajaan telah pun membayar ‘ex-gratia’ berjumlah RM1.5 juta kepada keluarga arwah pada 29 November 2021.

"Inilah bukti kesungguhan UMNO dalam membela nasib rakyat," katanya.