Kerajaan tidak akan benarkan penjarahan wang Petronas: PM

Ismail Sabri menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berazam memastikan kerajaan UMNO yang diterajuinya ketika ini tidak akan membenarkan penjarahan wang Petronas sewenang-wenangnya seperti yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Tegasnya, perkara itu tidak akan berlaku selagi mana UMNO memerintah negara ini.

“Azam saya, selagi kerajaan ini kerajaan UMNO, kita tidak akan membenarkan penjarahan wang Petronas sewenang-wenangnya seperti yang dilakukan oleh kerajaan PH,” katanya ketika penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini pada Sabtu.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menunjukkan prestasi semakin baik untuk tahun 2021.

Jelasnya, sebagai contoh Petronas mencatat keuntungan sebanyak RM48.6 bilion berbanding kerugian RM1.137 bilion pada tahun 2020.

“GLC dan GLIC telah memberikan sumbangan kepada Keluarga Malaysia melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR). Dalam tempoh dua tahun sejak 2020 Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN) telah berjaya membantu lebih 450,000 orang yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan banjir dengan pelbagai jenis bantuan bernilai RM327 juta.

“Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula mengagihkan dividen sebanyak 6.1 peratus dan LTAT, 4.1 peratus.

“Kedua-dua dividen ini adalah yang tertinggi sejak tahun 2018. Tidakkah ini semua bukti ekonomi kita sedang memulih?” ujarnya.

Artikel Berkaitan: