Sumbangan tabung #Sinar4NZMartyrs RM93,000 dibawa ke NZ

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof menerima sumbangan daripada Timbalan Pengerusi Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof menerima sumbangan daripada Timbalan Pengerusi Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Sejumlah hampir RM93,000 hasil sumbangan daripada tabung khas #Sinar4NZMartyrs yang diwujudkan Sinar Karangkraf diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof yang berangkat ke New Zealand petang ini.

Hasil sumbangan rakyat Malaysia itu akan diagihkan untuk kegunaan masjid dan diberikan kepada tiga keluarga rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden tembakan rambang di dua Masjid di Christchurch Jumaat lepas.

Sumbangan itu diserahkan oleh Timbalan Pengerusi Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, kepada Mujahid sebelum menteri itu berangkat ke New Zealand bagi mewakili kerajaan Malaysia.

Mujahid berkata beliau diminta mewakili kerajaan secara rasmi untuk ke negara tersebut untuk menemui keluarga mangsa selain bertemu kerajaan New Zealand untui mengucapkan takziah atas insiden yang berlaku.

"Pemergian saya ke New Zealand ini juga untuk mewakili kerajaan Malaysia secara rasmi untuk menziarahi keluarga serta menguruskan perkara melibatkan rakyat Malaysia di sana.

"Saya juga akan menemui kerajaan New Zealand untuk mengucapkan takziah atas peristiwa hitam yang berlaku dan mengucapkan penghargaan kerana menguruskan rakyat Malaysia yang terlibat," katanya dalam sidang media di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke New Zealand hari ini.

Pada masa yang sama beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat memberikan sumbangan kepada keluarga mangsa termasuk Sinar Karangkraf, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Yayasan Taqwa, Bank Islam dan Tabung Haji (TH) yang menjadikan jumlah sumbangan yang akan diberikan berjumlah RM174,000.

Sementara itu, Muhammad Nasir ketika ditemui berkata, hasil sumbangan tersebut merupakan lambang keikhlasan daripada rakyat Malaysia yang turut bersimpati atas tragedi yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kutipan sumbangan melalui tabung tersebut akan diteruskan sekurang-kurangnya selama sebulan lagi.

"Saya ingin menyeru kepada rakyat Malaysia untuk terus menyumbang kepada tabung ini kerana setiap sen yang disumbangkan akan diagihkan kepada penerima tanpa mengambilkira kos yang diperlukan," ujarnya.

Tabung #Sinar4NZMartyrs dibuka untuk membantu keluarga mangsa yang meninggal dunia dan cedera dalam tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu.

Kutipan itu terbahagi kepada tiga fokus utama iaitu mangsa yang meninggal dunia, mangsa yang cedera serta membantu membaik pulih masjid yang terjejas dalam tragedi yang menggemparkan dunia itu.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd: 5642 7652 9068.

No Image Caption