JPNP naik taraf TER Mossy Forest

JPNP memperuntukkan RM450,000 bagi menaik taraf TER Mossy Forest, Cameron Highlands untuk keselesaan pengunjung. - Foto JPNP
JPNP memperuntukkan RM450,000 bagi menaik taraf TER Mossy Forest, Cameron Highlands untuk keselesaan pengunjung. - Foto JPNP
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memperuntukkan RM450,000 bagi menaik taraf Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, Cameron Highlands untuk keselesaan para pengunjung.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong berkata, kerja naik taraf melalui peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Hutan (KWPH) itu melibatkan tempat letak kenderaan, bangunan kaunter tiket dan penerangan serta pelantar pemandangan.

Menurutnya, replika tulisan 'Taman Eko Rimba Mossy Forest' juga akan dinaik taraf supaya lebih menarik sebagai tempat pelancong untuk bergambar dan merakam kenangan.

“Kerja-kerja menarik taraf TER Mossy Forest kini hampir siap sepenuhnya mengikut jadual.

"Kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands ditugaskan untuk mengawal kawasan berkenaan termasuk menjual tiket dan memberi penerangan," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Regina berkata, TER Mossy Forest yang menjadi antara produk pelancongan yang terkenal di Cameron Highlands kini dibuka sepenuhnya selepas ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Beliau berkata, JPNP yakin kehadiran pelancong ke TER Mossy Forest akan terus bertambah selepas sektor pelancongan negara dibuka sepenuhnya.

“Ketika ini 50 hingga 100 pengunjung direkodkan datang ke TER Mossy Forest dan jumlah itu bertambah pada hujung minggu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, TER Mossy Forest terkenal dengan hutan lumut dan pemandangannya yang menarik serta persekitaran yang sejuk sehingga menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke destinasi pelancongan itu.