RUU Anti Lompat Parti dibentang selepas sesi libat urus: Wan Junaidi

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri Sehingga 10 Tahun hanya akan dibentang di Dewan Rakyat sebaik pendapat serta input daripada semua pihak diperoleh dan sesi libat urus selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut membayangkan RUU itu berkemungkinan dibentang pada Sidang Khas Parlimen mengambil kira sidang Dewan Rakyat kali ini akan berakhir pada Khamis depan.

Beliau berkata, bagaimanapun ia tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri serta persetujuan Perdana Menteri untuk menggunakan kuasanya selaras Peraturan 11(3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi memanggil sidang khas itu.

"Kabinet memutuskan bahawa RUU ini masih memerlukan penelitian lanjut melalui sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan lain khususnya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

"Ini bagi memastikan pindaan ini mendapat sokongan mereka (BN dan PN) di Dewan Rakyat. Di bawah Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, sokongan majoriti dua pertiga di Dewan diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Wan Junaidi, kerajaan pada Jumaat lepas telah mempertimbang RUU berkenaan dan sehubungan itu pada Selasa lepas, beliau telah mengemukakan surat kepada semua pemimpin parti beserta borang soal selidik untuk dijawab bersama dengan draf RUU untuk pandangan serta input selanjutnya.

"Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada keseluruhan sembilan sesi libat urus yang saya telah adakan bersama pelbagai pihak seperti ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta parti komponen termasuk di Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan sentiasa komited dan akan meneruskan usaha merealisasikan penggubalan RUU itu demi memastikan kestabilan politik negara berada pada tahap terbaik. - Bernama

Artikel Berkaitan: