Pembantu tadbir keluarkan resit palsu

Mohd Hisham dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen.
Mohd Hisham dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pembantu tadbir dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM20,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, di atas dua pertuduhan menipu membabitkan jumlah RM2,250, dua tahun lalu.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hisham Mohd Kamaruddin selepas menerima pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan menipu membabitkan dana awam yang sepatutnya dimasukan ke akaun Kerajaan Malaysia.

Mohd Hisham mengaku bersalah terhadap tuduhan pertama iaitu menipu Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang Daerah Bera pada 10 Februari 2017 sehingga menyebabkan kerugian kepada Kerajaan Malaysia yang mempunyai kepentingan terhadap bayaran sewa dewan sebanyak RM800.

Dia turut mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua, iaitu menipu Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang Daerah Bera pada 28 Mac 2017 sehingga menyebabkan kerugian kepada Kerajaan Malaysia yang mempunyai kepentingan terhadap bayaran sewa dewan berjumlah RM1,450.

Wang berjumlah RM2,250 tersebut yang sepatutnya bukan sahaja tidak dimasukkan ke akaun Kerajaan Malaysia sebaliknya digunakan untuk tujuan peribadinya sendiri.

Bahkan, Mohd Hisham telah mengeluarkan dua resit palsu Kerajaan Malaysia untuk kedua-dua pembayaran tersebut.

Timbalan Pendakwaraya Suruhanyaja Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ), Mohamad Fadhly Mohd Zamry, memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dan denda.

"Kesalahan melibatkan penjawat awam perlu pertimbangan tinggi mahkamah untuk melaksanakan hukuman yang setimpal.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kes ini tertuduh telah menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi maka pihak pendakwaan berhujah bahawa kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh," katanya.

Terdahulu pertuduhan dibuat dibawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan telah dipinda kepada Seksyen 408 kanun sama.

Mohd Hisham diwakili peguam Syadzuwan Noor Adzman memohon mahkamah mempertimbangkan faktor tertuduh yang telah dikenakan tindakan tatatertib.

"Tertuduh bekerja sebagai pembantu tadbir N19 dengan gaji asas RM2,000. Namun selepas beberapa tindakan tata tertib dalaman kini hanya terima gaji bulanan RM900.

"Tertuduh menyara keluarga dan seorang ibu berusia 60 tahun, tidak bekerja dan tinggal di kampung dan seorang nenek yang uzur berusia 93 tahun. Beliau juga insaf dan aku janji untuk tidak mengulanginya lagi," katanya ketika mitigasi.

Hakim Mohd Ghazali dalam penghakimannya berkata, mahkamah menjatuhi penjara tiga hari dan denda sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

"Sekiranya gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dikenakan lima bulan penjara," katanya.