Sila log masuk terlebih dahulu.

Khutbah solat Jumaat di Perak sentuh kesihatan buah pinggang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Teks khutbah untuk solat Jumaat di Perak pada Jumaat adalah mengenai kesihatan buah pinggang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Ia sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia pada 10 Mac lalu.

Menurut teks khutbah tersebut, bilangan rakyat Malaysia yang menderita penyakit kegagalan fungsi buah pinggang semakin meningkat saban tahun hingga dilaporkan terdapat hampir 50,000 pesakit sedang menjalani rawatan dialisis.

Berdasarkan angka pertambahan bilangan pesakit baru, dijangkakan jumlah pesakit yang perlu rawatan dialisis akan mencecah 106,000 orang pada tahun 2040.

Seramai 30 peratus daripada jumlah pesakit berada dalam usia muda di bawah 45 tahun.

Itu antara intipati teks khutbah Jumaat bertajuk Kesihatan buah pinggang, tunaikan hak terhadap tubuh badan yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) kepada semua masjid dan surau Jumaat pada Jumaat.

Menurut teks itu, keadaan tersebut dilihat membimbangkan kerana merawat pesakit buah pinggang memerlukan belanja yang tinggi hingga setiap pesakit mencecah RM2,900 sebulan atau hampir RM35,000 setahun.

"Majlis Agama Islam Perak membiayai perbelanjaan rawatan dialisis seramai 576 orang asnaf melibatkan hampir RM17 juta setahun.

Artikel Berkaitan:

"Perbelanjaan terus meningkat tahun demi tahun, disebabkan pesakit terus bertambah dan belanja rawatan pula semakin meningkat mahal," menurut teks tersebut.

Mimbar mengingatkan jemaah untuk mengamalkan gaya hidup sihat, mengawal berat badan, melakukan senaman setiap hari atau tiga kali dalam seminggu selain memastikan tidur dan rehat yang cukup, tidak merokok serta tidak mengambil minuman keras.

Menurut teks khutbah itu lagi, penyakit buah pinggang tidak menunjukkan gejala awal dan penting melakukan saringan atau pemeriksaan kesihatan secara berkala terutama mereka yang sudah melepasi usia 45 tahun.

Dalam pada itu, kanak-kanak juga perlu dilindungi dengan tidak mengambil makanan segera yang mengandungi garam dan gula tinggi.