Tahap kestabilan kesihatan awam diukur dengan jumlah kemasukan ke ICU

Khairy Jamaluddin -Foto Bernama
Khairy Jamaluddin -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesan dan tahap kestabilan kesihatan awam selepas pembukaan sempadan negara hanya dapat diukur menerusi kadar kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU), kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Kita akan mula buka sempadan pada 1 April ini dan kita nak tengok kesan kepada pembukaan itu dan kita jangka pembukaan yang akan dibuat dengan selamat serta tidak ada tekanan kepada sistem kesihatan awam.

"Tetapi apa yang kita tak tahu adalah dari segi varian baharu Omicron...ini kita masih pantau sebab kita tahu Omicron ini ada sub unit dan pakar di Kementerian Kesihatan sedang memantau. Kalau kita lihat negara Eropah, kadar jangkitan turun dan naik,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai cara mengukur tahap kestabilan kesihatan awam yang diguna pakai kementerian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac mengumumkan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April.

Ismail Sabri dilapor berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

Khairy berkata, turut dipantau adalah dari segi kelonggaran solat tarawih.

"Saya nak tengok selepas 1 April ini...lebih kelonggaran solat tarawih dan sebagainya, melonjak naik atau tidak...(bilangan) kes tak apa, cuma kemasukan hospital dan ICU itu saya nak lihat dalam beberapa bulan lagi (sama ada) keadaan itu stabil atau tidak,” katanya - Bernama

Artikel Berkaitan: