Hampir 14,000 guru 'one-off' telah ditempatkan

Mohd Radzi (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci kepada Penolong Kanan Pentadbir Azman Sharif (dua dari kiri) pada Majlis Penyerahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra pada Jumaat. - Foto Bernama
Mohd Radzi (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci kepada Penolong Kanan Pentadbir Azman Sharif (dua dari kiri) pada Majlis Penyerahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LANGAT - Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan hampir 14,000 guru telah ditempatkan setakat ini menerusi pengambilan secara 'one-off' yang dilaksanakan kementerian itu bagi mengatasi masalah kekurangan guru.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kira-kira lebih 4,000 guru lagi sedang dalam proses untuk ditempatkan, berdasarkan 18,702 jumlah guru yang diperuntukkan bagi pengambilan tersebut.

"Dengan pengambilan baharu (one-off) ini, kami akan beri keutamaan pergerakan kepada guru-guru yang telah lama (untuk dipindahkan) sebelum kami bawa masuk guru-guru baharu di kawasan yang mana permohonan untuk pertukaran itu tinggi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sekolah Menengah (SMK) Bandar Saujana Putra pada Jumaat.

Radzi berkata, susulan pengambilan guru baharu tersebut, permohonan pertukaran guru adalah antara yang tertinggi pernah diluluskan dalam sejarah iaitu lebih daripada 55 peratus.

Mengulas berhubung takwim pembelajaran akademik bagi penggal 2022/2023, Radzi berkata, setakat ini kalendar tersebut masih dikekalkan walaupun negara bakal memasuki fasa endemik 1 April ini.

Bagi pengoperasian SMK Bandar Saujana Putra pula, Radzi berkata, seramai 988 pelajar Tingkatan Satu hingga Empat dijadualkan memulakan persekolahan di sekolah tersebut pada 21 Mac depan.

Media sebelum ini melaporkan SMK Bandar Saujana Putra yang pembinaannya diteruskan pada 2020 selepas terbengkalai sejak 2019 telah siap sepenuhnya dan akan mula beroperasi bagi penggal baharu persekolahan pada Mac ini.

Radzi berkata, sejak dua tahun lalu, kementerian telah memberi keutamaan untuk konteks infrastruktur pendidikan, termasuk usaha menyiapkan pembangunan sekolah terbengkalai. - Bernama

Artikel Berkaitan: