Selangor rekod 6,299 kes penceraian tahun lepas

Mohd Zawawi
Mohd Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 6,299 pendaftaran penceraian direkodkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) setelah perintah perceraian dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah pada tahun lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, sebanyak 1,668 kes penceraian direkodkan di daerah Petaling, diikuti Hulu Langat (1,303); Gombak (960); Klang (878) dan Kuala Langat (407).

Menurutnya, daerah lain mencatatkan kes penceraian ialah Sepang (352); Kuala Selangor (314); Hulu Selangor (297) dan Sabak Bernam (120).

"Terdapat beberapa faktor dikenal pasti sebagai punca kepada kadar perceraian yang tinggi diputuskan oleh Mahkamah Syariah antaranya kepadatan penduduk dan cabaran persekitaran yang dihadapi di sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar mewakili ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman yang tidak hadir ke sidang DUN, pada Jumaat.

Mohd Zawawi memberitahu, faktor lain punca penceraian disebabkan migrasi yang memberi tambahan jumlah penceraian di negeri ini selain ekonomi pihak suami tidak stabil hingga menghadapi tuntutan pihak isteri berkenaan kegagalan memberi nafkah dengan merujuk kepada Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam Negeri Selangor.

"Punca penceraian juga terjadi disebabkan sosiolisasi terbuka yang merentasi kebiasaan dan kegagalan menjadikan agama sebagai cara hidup dalam menguruskan rumahtangga," katanya.

Mohd Zawawi berkata, kadar perceraian rendah atau tinggi tidak sepatutnya dikaitkan secara langsung dengan keberkesanan Kursus Pra Perkahwinan Islam (KPPI) kerana ia adalah kursus awal yang dihadiri peserta akan berkahwin.

Artikel Berkaitan:

"la perlu disusuli dengan pemantapan secara berterusan oleh setiap individu yang telah berkahwin, tolak ansur, saling menjalankan fungsi, tugasan dan tanggungjawab serta mengambil tindakan tepat dalam mengurus masalah.

"Kegagalan pihak-pihak mengurus masalah yang timbul dalam perkahwinan adalah punca kepada sebuah perkahwinan yang dibina berakhir dengan sebuah perceraian," katanya.