Perubahan demografi politik: Mengarusperdanakan dasar berlensa wanita

No Image Caption
A
A
A

Perubahan demografi merujuk kepada sebarang perubahan dalam populasi seperti jangka hayat, struktur keluarga, kadar kelahiran dan sebagainya yangmempengaruhi pembangunan.

Ada empat faktor utama yang mempengaruhi peralihan demografi ini iaitu:

1. Perkembangan kadar pertumbuhan penduduk,
2. Kadar kesuburan dan kematian,
3. Pembandaran, dan
4. Corak migrasi.

Sejak merdeka sehingga kini, negara telah diwarnai dengan pelbagai perubahan sosio-demografi yang penting. Malaysia kini sudah berubah daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada berasaskan perindustrian dan seterusnya berasaskan perkhidmatan.

Beberapa contoh boleh diambil untuk menunjukkan bagaimana perubahan demografi jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang bakal memberikan kesan jangka panjang kepada negara dan memerlukan suatu pendekatan dan pelan polisi yang berstruktur:

1. Perkembangan kadar pertumbuhan penduduk:

Penduduk Malaysia pada suku tahun kedua 2021 dianggarkan berjumlah 32.66 juta orang. Ini dijangka akan meningkat kepada 41.5 juta orang pada tahun 2040. Nisbah jantina penduduk perempuan suku tahun kedua 2021 adalah 48.62% (15.88 juta) dan lelaki 51.34% (16.77 juta) dengan 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Jumlah penduduk ini merangkumi 29.96 juta orang (91.8%) Warganegara dan 2.69 juta orang (8.2%) Bukan Warganegara. Selari dengan penutupan pintu sempadan negara dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, komposisi penduduk Bukan Warganegara menurun daripada 8.9 peratus pada suku tahun kedua 2020 kepada 8.2 peratus pada suku tahun kedua 2021.

Artikel Berkaitan:

2. Penurunan bilangan kelahiran hidup dalam tempoh Covid-19.

Laporan Perangkaan Demografi bagi suku tahun kedua 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan pada suku tahun kedua tahun ini, jumlah kelahiran hidup mencatatkan penurunan sebanyak 4.4 peratus (111,573 kelahiran), berbanding suku tahun kedua 2020 (116,688 kelahiran). Kelahiran bayi perempuan melebihi bayi lelaki iaitu 55,881 kelahiran berbanding bayi lelaki (55,692 kelahiran). Walaupun dijangka berlaku peningkatan mendadak kepada bilangan kelahiran susulan daripada PKP di dalam tempoh Covid-19 tetapi statistik menunjukkan sebaliknya. Penurunan bilangan kelahiran ini adalah selari dengan negara lain seperti di Amerika Syarikat, Republik Korea, United Kingdom, Perancis dan Sepanyol.

3. Penurunan kadar kesuburan di Malaysia.

Tahap kesuburan Malaysia menunjukkan corak penurunan berterusan dari tahun 2019 (1.8 anak/wanita) ke tahun 2020 (1.7 anak/wanita) dan kadar ini telah menurun di bawah paras penggantian (replacement level) 2.1 bayi semenjak tahun 2012, di mana jumlah purata bayi yang dilahirkan dalam tempoh subur seorang wanita tidak mencukupi untuk menggantikan diri dan pasangannya. Kadar kesuburan yang menurun bukan hanya disebabkan oleh pasangan yang tidak mahu mempunyai anak, tetapi juga ketidakupayaan untuk hamil serta pelbagai faktor sosioekonomi lain berkait. Peningkatan jumlah pasangan yang lambat berkahwin, mungkin juga telah menyebabkan masalah sukar untuk hamil. Walaupun kesan jangka masa pendek daripada penurunan tersebut adalah tidak ketara, ini bakal menimbulkan ketidakseimbangan di negara ini, dengan struktur penduduk bekerja yang mengecil dan semakin menua.

4. Peningkatan unjuran populasi warga emas dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Unjuran populasi dalam tempoh tahun 2020 ke 2040 menunjukkan peningkatan struktur umur populasi bersara, iaitu rakyat berusia 55 tahun ke atas, daripada 15.8% jumlah keseluruhan populasi kepada 26.9% dalam tempoh 20 tahun. Data juga menunjukkan peningkatan ini disebabkan oleh kumpulan umur 65 tahun ke atas yang meningkat tinggi selaras dengan kenaikan jangka hayat dan tahap kesihatan rakyat Malaysia. Definisi negara tua sesebuah negara berlaku apabila 7 peratus daripada rakyatnya adalah berumur 65 tahun dan ke atas. Menurut definisi ini, Malaysia sudah pun bergelar negara tua pada tahun 2020 kerana jumlah warga Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas adalah 7.2 peratus pada tahun 2020. Dari sudut 5 dasar wajarlah untuk pelbagai isu yang mendepani warga emas di Malaysia iaitu kesihatan, ekonomi, sosial, psiko-spiritual dan juga persekitaran diteliti dengan lebih mendalam.

5. Jumlah kematian populasi lelaki dan warga emas yang lebih tinggi akibat Covid-19.

Sebanyak 44,307 kematian direkodkan pada suku tahun kedua 2021, meningkat 10.1 peratus berbanding suku tahun kedua 2020 (40,241 kematian). Sejumlah 25,216 kematian adalah lelaki sementara 19,091 kematian adalah perempuan. Sebanyak 3,898 kematian disebabkan oleh Covid-19 direkodkan daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun kedua 2021, meningkat daripada 78 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2020. Data juga menunjukkan kematian tertinggi akibat Covid-19 dicatatkan oleh kumpulan umur 65-69 tahun dan diikuti kumpulan umur 70-74 tahun.

No Image Caption

Langkah ke Hadapan

Di setiap pelusuk dunia, pandemik Covid-19 telah melanda masyarakat dan ekonomi kita. Walaupun wabak ini akan membawa pelbagai kesan jangka panjang — kesannya terhadap kesetaraan gender paling membimbangkan.

Satu kajian Institut Wanita Berdaya Selangor menunjukkan wanita di negeri yang termaju di Malaysia itu telah lebih terkesan dengan pandemik ini di mana 25% dari wanita telah kehilangan sumber pendapatan ketika fasa kuncitara disebabkan oleh pemberhentian kontrak pekerja, penutupan premis perniagaan atau diberi cuti tanpa gaji manakala 43% daripada wanita melaporkan bahawa mereka telah kehilangan sumber pendapatan.

Kumpulan rentan termasuk wanita dalam isi rumah yang besar, berpendapatan isi rumah bulanan yang lebih rendah serta bergantung kepada upah harian. Kumpulan-kumpulan ini mencatatkan kehilangan sumber pendapatan lebih kerap di samping persediaan kewangan yang lebih rendah.

Ibu tunggal khususnya, adalah kumpulan terjejas, di mana satu per empat daripada mereka hidup di bawah indeks garis kemiskinan dan hampir sebahagian mereka melaporkan kehilangan sumber pendapatan — sebahagiannya kerana mereka harus memikul tanggungjawab penjagaan yang lebih tinggi.

Kadar keganasan rumah tangga meningkat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan 47 juta lagi wanita akan jatuh ke dalam kemiskinan ekstrem akibat wabak tersebut. Walaupun 8 wanita merangkumi 70% tenaga kerja penjagaan kesihatan global — petugas barisan hadapan yang perlu bertindak balas terhadap implikasi virus terhadap kesihatan, sistem sokongan seperti penjagaan kanak-kanak dan orang tua masih lagi menjadi isu semasa, apatah dalam tempoh kuncitara.

Kesan berasaskan gender yang digabungkan dengan perubahan demografi pelbagai sedia ada akan mempengaruhi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui beberapa saluran. Antaranya adalah pertumbuhan penduduk yang lebih rendah secara langsung menunjukkan pengurangan input tenaga kerja.

Kedua, kesan tidak langsung terhadap penawaran tenaga kerja individu di mana kadar cukai yang lebih tinggi akan mengurangkan lagi insentif bekerja (atau melaporkan cukai). Kesemua ini akan memberi kesan pelbagai jangka masa kepada sistem perlindungan sosial di mana pengeluaran wang simpanan kecemasan, hari tua, tabung pendidikan yang mendadak akan meningkatkan keperluan kerajaan untuk memberi pelbagai bantuan langsung.

Dengan pelbagai isu berkait serta ‘keperluan’ berbeza setiap kelompok umur, gender, tahap pendapatan, latar belakang sosioekonomi dan sebagainya, suatu pendekatan pembangunan (development tool) yang mesra Matlamat Pembangunan Lestari (SGD) adalah amat diperlukan.

Transformasi sosial dengan pengarusperdanaan gender bukanlah semata-mata menambah "komponen wanita" atau bahkan "komponen kesetaraan gender" ke dalam aktiviti sedia ada. Ia melangkaui peningkatan penyertaan wanita; ia bermaksud membawa keperluan, pengalaman, pengetahuan, dan minat kedua wanita dan lelaki ke dalam agenda pembangunan. Tuntasnya, pengarusperdanaan gender adalah transformasi struktur sosial dan sistem institusi kepada struktur yang setara dan adil bagi lelaki dan wanita. Kebanyakan negara yang melaksanakan pengarusperdanaan gender telah mengadaptasi kerangka yang telah dikeluarkan oleh PBB dan International Labour Organisation (ILO).

Pengagihan sumber yang lebih inklusif dapat dilaksanakan melalui Belanjawan Responsif Gender (GRB), sebagai satu pendekatan dasar awam yang inovatif untuk menilai kesan dasar dan belanjawan dari perspektif gender dan untuk memastikan bahawa dasar serta perancangan yang dibawa tidak meneruskan ketaksamaan gender tetapi menyumbang kepada masyarakat yang lebih setara bagi wanita dan lelaki.

Ini dapat dicapai dengan adanya penglibatan masyarakat dalam proses membuat keputusan seperti sesi dialog belanjawan, sesi libat urus di setiap peringkat daripada akar umbi ke pihak pembuatan keputusan tertinggi.

Untuk kelestarian jangka masa panjang, GRB harus diinstitusikan di setiap peringkat pentadbiran awam dan menjadi sebahagian kod undang-undang serta amalan tata cara dan tadbir urus baik. Ini akan memastikan usaha ini kekal sebagai suatu sistem yang menjana pembangunan mapan dan kestabilan ekonomi secara berterusan serta akan membantu melindungi GRB dari perubahan politik semasa yang tidak menentu.

Keberkesanan GRB juga bergantung kepada konteks pelaksanaan - kecukupan sumber lain yang disediakan untuk memastikan GRB dapat terlaksana secara optimum akan membolehkan beberapa asas pemangkin yang diperlukan seperti latihan berterusan, sistem pengkalan data berasaskan gender dan sumber tenaga kerja.

Sokongan setiap sistem dengan pelbagai fungsi berbeza akan membawa kepada titik masuk ke dalam proses dasar dan belanjawan, ketersediaan data, sistem pengurusan kewangan awam, sistem politik, komitmen politik dan kapasiti institusi berbeza yang juga tertakluk kepada bidang kuasa — adalah antara pelbagai elemen penting yang dapat membantu mengoptimumkan fungsi GRB dalam sistem sedia ada serta kunci untuk memastikan keberkesanannya.

NOTA:

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS). Beliau merupakan seorang Akauntan Bertauliah, pernah berkhidmat di dalam dan di luar negara termasuk sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia, Bangsa Bersatu.

Artikel ini merupakan kerjasama dan sokongan Kaukus Ahli Parlimen Muda Dewan Rakyat.