Bubar DUN: Pulau Pinang berhak tunggu sehingga 2023

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang berhak untuk menunggu sehingga 2023 sebelum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tiada keperluan untuk PRN diadakan dalam masa yang sama dengan Pilihan Raya Umum (PRU).

"Ini bukan perkara baru, Sabah, Sarawak, Kelantan, Melaka dan Johor telah mengadakan PRN secara berasingan.

Perlembagaan dengan jelas menetapkan bahawa setiap negeri boleh membuat keputusan masing-masing bila mereka mahu mengadakannya (PRN).

"Seperti yang saya katakan, negeri mempunyai hak dan kita boleh membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya selepas tamat penggal nanti,” katanya kepada media selepas melancarkan Forum CEO PKS di Pusat Konvensyen Setia Spice, Bayan Baru di sini pada Jumaat.

Pendirian Kon Yeow itu menyamai keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) iaitu tiga negeri di bawahnya tidak akan membubarkan DUN sehingga tamat tempoh pada tahun 2023.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Majlis Presiden PH berkata, kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang ditadbir PH tidak akan menasihati DUN masing-masing dibubarkan setelah mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang masih terkesan akibat banjir besar, pandemik Covid-19, pendapatan yang berkurangan serta kos sara hidup yang meningkat mendadak.

Sebelum ini, sebanyak enam negeri berkemungkinan memilih untuk tidak membubarkan DUN masing-masing sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh terdekat.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu ada dibincangkan bersama lima buah negeri lain ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja di ibu negara baru-baru ini.

Kerajaan persekutuan dan negeri perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas Mei, atau menjelang Julai 2023.