Exco perlu rujuk saya dulu: Ahmad Faizal

AHMAD FAIZAL
AHMAD FAIZAL
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengingatkan exco kerajaan negeri supaya merujuk beliau sebelum memberikan sebarang kenyataan berkaitan kerajaan negeri.

Menurutnya, tindakan itu penting bagi memastikan tiada percanggahan kenyataan di antara menteri besar dan exco kerajaan negeri.

Beliau berkata, tindakan membelakangi menteri besar dalam memberikan kenyataan boleh memberi gambaran tidak baik kepada kerajaan negeri.

"Masih ada dalam kalangan kami yang tak faham bahawa saya menteri besar yang kadang-kadang kenyataan dibuat tanpa merujuk kepada saya.

"Bukannya kenyataan yang salah tetapi kenyataan yang dibuat tanpa merujuk menteri besar ini saya fikir boleh menampakkan kepada orang ramai bahawa kami tidak bekerja sebagai satu pasukan yang mantap," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Town Hall Maqasid - Maqasid Syariah Based Governance Peringkat Negeri Perak, di sini.

Menurut Ahmad Faizal, sebagai contoh terdapat kenyataan yang tidak tepat seperti sebelum ini bahawa kerajaan negeri akan mengeluarkan tender bagi menambah baik kemudahan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh sedangkan itu merupakan bidang kuasa Malaysia Airport Holding Berhad.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kedah kerana telah mendapat kelulusan kerajaan persekutuan untuk membina sebuah lapangan terbang baharu di Kedah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dengan adanya lapangan terbang baharu itu, ia juga akan memberikan manfaat kepada sektor ekonomi di Perak terutama di bahagian utara.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut yakin permohonan kerajaan negeri untuk mewujudkan lapangan terbang baharu bertaraf antarabangsa akan diterima oleh kerajaan persekutuan.

"Saya kira kerajaan persekutuan tidak menolak sebarang cadangan kerajaan Perak untuk membina sebuah lagi lapangan terbang antarabangsa di Perak.

"Namun saya kira pertimbangan lain perlu dibuat seperti yang saya katakan sebelum ini, kita juga memberi fokus untuk membawa lebih banyak pesawat ke Ipoh dan kita perlu cari jalan untuk menaik taraf LTSAS," katanya.