Hampir empat juta rakyat Malaysia dijangkiti Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah rakyat Malaysia yang dijangkiti Covid-19 menghampiri empat juta dengan kes kematian setakat ini sebanyak 34,185.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat melaporkan sebanyak 27,004 kes harian baharu dicatat pada Khamis (17 Mac), menjadikan kes kumulatif Covid-19 negara sebanyak 3,927,437.

Daripada 27,004 kes, sebanyak 719 adalah kes import dan 676 kes (94.0 peratus) daripadanya, melibatkan warganegara Malaysia.

Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh mengatasi angka kes harian baharu untuk lima hari iaitu pada 13 Mac (25,356), 14 Mac (33,872), 15 Mac (31,234), 16 Mac (33,009) dan 17 Mac (29,450).

Berdasarkan data KKM, hanya 29 kluster baharu direkod dengan kluster terbanyak adalah kumpulan berisiko tinggi, 12 kluster (41.4 peratus).

Negeri yang mencatat kluster kumpulan berisiko tinggi adalah Kuala Lumpur (2), Negeri Sembilan (1), Sabah (1), Johor (2), Pulau Pinang (2), Pahang (1), Putrajaya (1) dan Selangor (2).

Kluster kumpulan berisiko tinggi yang dikesan di Johor pada 13 Mac, setakat hari dilaporkan merekod sebanyak 117 kes (Kluster Kampung Aman).

Dengan kes kumulatif sebanyak 3,927,437, Malaysia kini di tangga 22 daripada 226 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia adalah Ukraine (4,922,901) dan Mexico (5,863,414).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam kalangan 226 buah negara, mengikut data Worldometer, Korea Selatan mencatat angka kes harian baharu tertinggi pada Khamis iaitu sebanyak 621,328 kes (di tangga 12) dengan 429 kematian. Ini diikuti Jerman sebanyak 296,980 kes (242 kematian) dan Perancis sebanyak 101,747 kes (116 kematian).

Data CovidNow KKM setakat jam 11:59mlm pada Khamis menunjukkan kes aktif Covid-19 sebanyak 296,799 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 286,599 kes (96.6 peratus) dikuarantin di rumah.

Sebanyak 1,971 kes (0.7 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 7,856 kes (2.6 peratus) di hospital; 148 kes (0.0 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 225 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar pada Jumaat, daripada 27,004 kes harian baharu direkod pada 17 Mac, kategori 1 sebanyak 11,163 kes (41.34 peratus); kategori 2 sebanyak 15,642 kes (57.92 peratus); kategori 3 sebanyak 63 kes (0.23 peratus); kategori 4 sebanyak 72 kes (0.27 peratus) kategori 4 dan kategori 5 sebanyak 64 kes (0.24 peratus).

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksigen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan). Sebanyak 29,450 kes sembuh pesakit Covid-19, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 3,596,453 (91.6 peratus).

Sebanyak 152 kes di Unit Rawatan Rapi disahkan sebagai Covid-19 setakat Khamis dan 97 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt untuk seluruh negara sepanjang tempoh Rangkuman ini melepasi paras 1.00 dengan negeri mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 17 Mac 2022 adalah Sarawak (1.13) dan Kuala Lumpur (1.10).