‘Pemilihan parti selepas PRU bukan keputusan saya’

Ahmad Zahid. - Foto Bernama
Ahmad Zahid. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan untuk mengadakan pemilihan selepas pilihan raya umum (PRU) bukan diputus olehnya, namun ia adalah keputusan parti.

Malah katanya, ia adalah kelaziman sebelum ini bahawa pemilihan parti diadakan selepas PRU dan menjadi amalan sejak bertahun lamanya.

“Adat ahli adalah menghormati keputusan parti. Sebanyak 186 daripada 190 bahagian yang telah bermesyuarat bersetuju agar pemilihan parti diadakan selepas PRU.

Ini bukan keputusan saya. Ini keputusan saudara-saudari sewaktu mesyuarat perwakilan di bahagian masing-masing.

“Sudah menjadi kelaziman sebelum ini bahawa pemilihan parti diadakan selepas PRU. Bertahun-tahun ia diamalkan.

Adakah wajar kita mengubah tradisi ini? Janganlah kita memakai kasut sebelum menyarung stoking,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini pada Jumaat.

Ahmad Zahid berkata, beliau dalam masa sama turut menghormati saranan sebilangan kecil yang mahukan pemilihan diadakan sebelum PRU.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, cadangan itu juga melambangkan wujudnya demokrasi dalam parti, selain percaya ia tiada sebarang motif tertentu.

“Jika sesuatu mesyuarat semuanya dianggotai oleh ‘yes man’, tak perlulah bermesyuarat.

Kita sudah tetapkan mengikut persetujuan Pendaftar Pertubuhan bahawa pemilihan parti diadakan pada akhir tahun ini, atau secara tepatnya sebelum 29 Disember 2022.

“Siapa pun boleh bertanding, termasuklah jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan seterusnya.

Bukan saya tidak tahu, sekarang pun sudah ada berpasang-pasangan, ada cai, harap-harapnya pasangan-pasangan tu kekal lah,” katanya.