Sila log masuk terlebih dahulu.

Politik ‘cheque book’ beri kesan kepada ekonomi negara

Edmund ketika menjadi panelis forum awam bertajuk ‘Kontroversi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), korupsi dan kes reformasi politik wang’ di sini pada Khamis.
Edmund ketika menjadi panelis forum awam bertajuk ‘Kontroversi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), korupsi dan kes reformasi politik wang’ di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan golongan usahawan menceburi dunia politik atau lebih dikenali sebagai politik ‘cheque book’ didakwa bakal memberi kesan kepada ekonomi negara.

Pakar ekonomi dan bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Prof Dr Edmund Terence Gomez berkata, contoh terdekat adalah seperti yang berlaku pada sebuah parti politik baharu ditubuhkan hujung tahun lalu apabila anak kepada seorang taikun hartanah dilantik membarisi jawatankuasa di peringkat pusat.

“Berapa ramai lagi ahli perniagaan terkemuka yang akan memasuki sistem politik kita sebagai ahli politik?

“Kita kena lakukan (bersuara). Ia mestilah daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

“Jika kita tidak bangkit sekarang dan berikan tekanan kepada ahli politik untuk membawa reformasi, maka ia akan membunuh ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis forum awam bertajuk ‘Kontroversi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), korupsi dan kes reformasi politik wang’ di sini pada Khamis.

Forum anjuran Agora Society dengan kerjasama Rasuah Busters itu turut menampilkan panelis lain iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah manakala Dr Khoo Ying Hooi bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Edmund turut menggesa supaya Akta Pembiayaan Politik (PFA) diperkenalkan serta-merta bagi mengurangkan salah laku rasuah dalam negara ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, saranan tersebut tidak harus ditangguhkan lebih lama memandangkan akta tersebut telah sedia untuk dibentangkan dalam Parlimen.

“Jika kita tidak mempunyai PFA, bersiap sedialah kerana kita tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah-masalah rasuah.

“Kedua-duanya mempunyai isu yang berkait rapat, bermula dengan PFA kemudiannya barulah kita boleh bergerak menyelesaikan isu rasuah dalam negara ini,” ujarnya.