Apabila parasetamol habis di pasaran

Kekurangan bekalan ubat-ubatan ini perlu mendapat perhatian kerajaan kerana ubat menjadi stok wajib atau mesti ada di rumah di kala Omicron semakin mengganas.
Kekurangan bekalan ubat-ubatan ini perlu mendapat perhatian kerajaan kerana ubat menjadi stok wajib atau mesti ada di rumah di kala Omicron semakin mengganas.
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini, parasetamol atau ubat yang sering digunakan bagi melegakan demam dan sakit kepala mengalami kekurangan bekalan di negara ini. Situasi tersebut meresahkan orang ramai terutama mereka yang dijangkiti virus Covid-19.

Tinjauan penulis di beberapa kedai runcit dan farmasi mendapati bahagian rak mempamerkan bekalan ubat yang sering digunakan orang ramai didapati kosong. Apabila diajukan soalan kepada juruwang di kaunter, dengan pantas mereka menjawab: “Ubat habis”.

Ia susulan pembelian panik kontak rapat pesakit Covid-19. Ada yang menyimpan ubat di rumah untuk digunakan sekiranya dijangkiti menjadi punca stok cepat habis di pasaran.

Bukan itu sahaja, seiring peningkatan peratus penerima dos penggalak membuatkan orang ramai membuat persediaan bagi mengurangkan kesan sampingan.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang yang turut mengesahkan perkara itu berkata, masalah kekurangan parasetamol tidak hanya berlaku di ibu negara, malah di beberapa negeri lain.

Jelasnya, perkara itu sudah berlaku sejak beberapa bulan lalu berikutan permintaan tinggi ketika musim pandemik Covid-19, selain mungkin berkaitan isu logistik membabitkan pengilang dan pengedar.

“Sebab semua yang terlibat dengan pembuatan sama ada ramuan bahan atau peringkat pembungkusan dan logistik akan mempengaruhi ketersediaan stok di seluruh negara,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen di media sosial seperti laman Twitter pula, rata-rata netizen turut meluahkan kesukaran mendapatkan bekalan parasetamol di farmasi dan kedai runcit berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Apa sudah jadi?

Di kala negara sedang beralih ke fasa peralihan endemik, rakyat mula mengatur langkah bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada sebarang wabak penyakit.

Tapi, adakah kerajaan sedar bahawa kini ubat-ubatan asas untuk merawat simptom Covid-19 seperti demam, batuk, sakit badan sedang ‘kering’ di pasaran?

Menurut seorang pekerja swasta, Amirul Amin Rahim, ibunya terpaksa pergi ke lima farmasi untuk mendapatkan ubat batuk, namun hampa kerana ubat-ubatan tersebut dikatakan telah habis dijual.

Malah, terdapat sesetengah kedai runcit atau farmasi siap meletakkan notis ‘Covid test habis' atau ‘Panadol habis stok' di depan pintu masuk.

Pemilik Farmasi Sekilau, Zuraida Abdul Kadir, 48, mengakui berdepan situasi itu sekitar Jun dan Julai tahun lalu.

Menurutnya, kekurangan bekalan ubat itu disebabkan pembelian panik pengguna susulan dikatakan dapat melegakan simptom pasca vaksinasi.

“Bekalan ubat parasetamol jenama terkemuka paling terjejas bermula Februari. Kami langsung tiada bekalan sedangkan pengguna mahu menggunakan ubatan jenama itu.

“Kami tidak dibenarkan membuat tempahan barangan (ubatan) sendiri sebaliknya perlu mendapatkan bekalan daripada pembekal.

“Malah agihan ubat itu turut dihadkan kepada jumlah tertentu kepada setiap farmasi-farmasi dan kedai serbaneka,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, pekerja sebuah kedai serbaneka, Roslan Abd Rahim, 33, memaklumkan, permintaan luar biasa daripada pengguna menyebabkan bekalan ubat jenama terkemuka itu habis di pasaran sejak kebelakangan ini.

“Pesanan untuk mendapatkan bekalan itu sudah dibuat, namun sehingga kini masih belum diperoleh,” katanya.

Situasi itu turut menyebabkan ada juga yang mengambil inisiatif membeli bekalan ubat berkenaan melalui aplikasi e-dagang seperti Shopee dan Lazada. Tapi sampai bila rakyat Malaysia harus bergantung kepada platform tersebut.

Di saat rakyat mula mengalami simptom seperti demam dan sakit badan, mereka akan terus ke farmasi untuk membeli ubat dan bukannya membuat pesanan secara dalam talian.

Kemungkinan jika ubat yang dipesan sampai, mereka sudah sembuh daripada penyakit yang dihidapi.

Semoga kekurangan bekalan ubat-ubatan ini mendapat perhatian kerajaan kerana ubat menjadi stok wajib atau mesti ada di rumah di kala Omicron semakin mengganas.

* Nazihah Khan ialah Pencipta Kandungan Digital Sinar Harian