Jangan gembira hari ini, menyesal kemudian

KWSP - Foto Bernama
KWSP - Foto Bernama
A
A
A

POLEMIK isu pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akhirnya selesai apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan RM10,000 secara one-off buat kali terakhir.

Keputusan Perdana Menteri itu diambil selepas dua minggu Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengeluarkan kenyataan bahawa perbadanan itu tidak bercadang untuk membenarkan lagi pengeluaran selepas tiga skim yang diperkenalkan sebelum ini.

Beberapa hari lalu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut memberi bayangan tiada lagi pengeluaran khas dana KWSP dibenarkan selepas pelaksanaan skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebelum ini.

Di saat rakyat seolah-olah sudah berputus asa dengan kenyataan kedua-dua pihak tersebut, Perdana Menteri kembali memberi sinar kepada sebilangan rakyat Malaysia yang masih terkesan dengan keadaan ekonomi tidak stabil disebabkan pandemik Covid-19 serta bencana alam.

Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, ia satu keputusan sukar kerana melibatkan simpanan masa depan orang ramai. Beliau sehubungan itu merayu pencarum yang tidak mempunyai keperluan mendesak agar terus mengekalkan simpanan.

Justeru, bagi yang memerlukan, boleh membuat permohonan pengeluaran mulai April ini dan menggunakannya tanpa perlu meminjam daripada pihak lain terutama ah long. Tapi bagi mereka yang masih ada wang simpanan lain, sebaik-baiknya tidak berbuat demikian.

Mungkin ketika ini kita melihat nilai wang tersebut hanya RM10,000. Tetapi sekiranya ia tidak dikeluarkan dalam simpanan, contohnya selama 15 tahun dengan purata dividen sebanyak lima peratus setahun, wang RM10,000 tersebut akan meningkat hampir dua kali ganda.

Apa pun, tidak salah sekiranya pencarum tetap mahu mengeluarkan RM10,000 tersebut, tetapi manfaatkanlah dengan perbelanjaan secara berhemah. Jangan pula nanti gembira hari ini, tetapi menyesal di kemudian hari.

Artikel Berkaitan:

Bukan apa, terdengar juga cerita ada pencarum mengeluh sendiri kerana wang yang dikeluarkan menerusi i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebelum ini, habis dibazirkan begitu saja dengan pembelian yang bukan-bukan.