'Mungkin saya silap, anggap Najib mahu teruskan penerbitan sukuk'

Ismee ketika hadir pada perbicaraan kes Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
Ismee ketika hadir pada perbicaraan kes Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Khamis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau mungkin tersilap dengan menganggap Datuk Seri Najib Tun Razak mahu meneruskan penerbitan sukuk Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) oleh Terengganu Investment Bhd (TIA) pada 2009.

Tan Sri Ismee Ismail, 58, bersetuju dengan cadangan peguam, Datuk Hariharan Tara Singh berdasarkan surat dari Istana Terengganu kepada TIA yang menyatakan bekas perdana menteri itu bersetuju untuk menangguhkan dahulu penerbitan sukuk RM5 bilion itu.

TIA ditubuhkan pada 27 Februari 2009 selaku sayap pelaburan negeri Terengganu dan dinamakan semula sebagai 1MDB pada 25 September 2009.

Sebelum ini, Ismee dalam keterangannya menyatakan, beliau berjumpa Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi di kediaman Najib di Jalan Duta selepas menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu pada 22 Mei 2009.

"Semasa menghadap, Tuanku menzahirkan kebimbangan baginda dan mahukan penerbitan sukuk itu ditangguhkan.

Shahrol Azral dan saya pergi berjumpa Datuk Seri Najib untuk memaklumkan beliau mengenai titah Tuanku dan pada masa itu saya mengandaikan berdasarkan reaksi beliau dan nada suaranya, beliau mahu penerbitan bon itu diteruskan,” katanya.

Hariharan: Berdasarkan surat dari istana itu, adakah anda bersetuju bahawa anda mempunyai tanggapan yang salah pada awalnya terhadap Datuk Seri Najib? Apa yang anda katakan dalam keterangan saksi hanyalah andaian anda semata-mata?

Ismee: Ya, mungkin anggapan saya salah.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Hariharan menyoal saksi itu sama ada beliau bersetuju dengan dapatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) khususnya bahagian yang merujuk tindakan Shahrol Azral meneruskan penerbitan IMTN, biarpun beliau menandatangani resolusi untuk menangguhkannya.

Hariharan: Menurut dapatan PAC, adakah anda bersetuju Shahrol Azral telah melanggar arahan apabila beliau bertindak sebaliknya?

Pada ketika itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam membantah dan menyatakan laporan itu telah diterbitkan dan isu ini boleh dibawa dalam hujahan. Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersetuju.

Hariharan kemudian beralih kepada perbualan Ismee dengan Shahrol selepas menandatangani resolusi untuk tidak meneruskan IMTN.

Hariharan: Anda meninggalkan istana selepas menandatangani resolusi untuk tidak meneruskan IMTN. Dalam keterangan saksi anda berkata anda diarahkan oleh Shahrol Azral untuk 'menyelesaikan' isu itu. Bagaimanakah anda melakukannya?

Ismee: Saya tidak tahu, mungkin dengan membawa isu itu kepada perdana menteri.

Hariharan: Anda berharap Sharol Azral untuk berjumpa PM (perdana menteri) kerana Kerajaan Persekutuan memberikan jaminan. Itulah sahaja alasan untuk bertemu penjamin?

Ismee: Ya.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Sequerah bersambung pada 21 Mac. - Bernama