Sindiket edar dadah rentas sempadan tumpas

Ayob Khan menunjukkan antara dadah yang dirampas pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Khamis.
Ayob Khan menunjukkan antara dadah yang dirampas pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua individu dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah melalui sempadan Thailand berjaya diberkas di sebuah stesen minyak di Kuala Langat pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu menahan dua individu berusia 31 dan 47 tahun dalam sebuah kenderaan di stesen minyak terbabit.

"Tangkapan kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Klang yang dipercayai dijadikan stor simpanan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Khamis.

Ayob Khan berkata, serbuan yang dijalankan di rumah berkenaan menemukan dadah jenis ganja seberat 468.8 kilogram dan 10 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM1.53 juta.

"Kita percaya ganja ini dari Laos dan dibawa masuk melalui utara semenanjung menggunakan jalan darat.

"Kalau ikut trendnya, kebiasaannya pada Mac dan Oktober adalah musim menuai, tetapi sekarang di Laos sepanjang tahun aktiviti menuai ini dijalankan, sebab itu kita lihat banyak kebelakangan ini rampasan dibuat oleh JSJN di sempadan utara negara melibatkan dadah jenis ganja," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati ganja ini diseludup menggunakan taktik yang sama seperti menyeludup beras dan mereka menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak Mac tahun ini.

"Ujian saringan mendapati kedua suspek positif dadah jenis THC, dan salah seorang suspek mempunyai kes lampau berkaitan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam sindiket ini," katanya.

Ayob Khan berkata, kedua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pelbagai aset sindiket ini telah disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (perlucutan harta) 1988 dianggarkan bernilai RM 88,496, dan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM1.62 juta," katanya.