Pekerja kilang jubin ditempatkan dalam bilik sempit, kotor

Tilam dan katil tidak disediakan memaksa pekerja tidur atas papan beralaskan tilam lusuh dan nipis.
Tilam dan katil tidak disediakan memaksa pekerja tidur atas papan beralaskan tilam lusuh dan nipis.
A
A
A

IPOH - Lebih 20 pekerja sebuah kilang memproses jubin di sini dikesan ditempatkan di bilik penginapan yang daif dalam keadaan panas dan sesak, tidak ubah seperti pondok.

Perkara itu dikesan menerusi Operasi Banteras Buruh Paksa dan Pemerdagangan Orang (Op Banteras) yang dijalankan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak di Kampung Kepayang, Simpang Pulai pada Khamis.

Pengarah JTK negeri, Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata, pemeriksaan mendapati, terdapat tiga bilik penginapan dibina di dalam kawasan kilang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dengan keadaan terlalu daif, sempit dan kotor.

Menurutnya, pekerja turut dikesan melakukan pendawaian sendiri di setiap bilik berkenaan bagi mendapatkan sumber elektrik.

"Kilang ini menggajikan 14 pekerja asing dan tujuh pekerja tempatan, memang semua pekerja tinggal dalam tempat penginapan yang disediakan di sini.

"Pemeriksaan yang kita jalankan menerusi operasi ini mendapati, majikan telah gagal menyediakan keperluan asas kepada pekerja.

Muhamad Fauzi menunjukkan keadaan dapur yang kotor yang disediakan majikan sebagai kemudahan pekerja.
Muhamad Fauzi menunjukkan keadaan dapur yang kotor yang disediakan majikan sebagai kemudahan pekerja.

"Kemudahan seperti katil, tilam tidak disediakan, bilik sempit dan kawasan persekitaran yang semak, keadaan ini langsung tidak selamat dan tidak sesuai untuk dijadikan tempat tinggal pekerja," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Operasi bermula jam 10 pagi itu turut disertai polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Selain membiarkan pekerja tinggal di penginapan kotor dan daif, Muhamad Fauzi berkata, majikan itu juga didapati gagal mendapatkan perakuan penginapan daripada JTK di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446)

Katanya, majikan turut dikesan tidak menyediakan syarat-syarat perkhidmatan kepada semua pekerja asing yang bekerja di kilang itu sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.

"Kita akan membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 24D Akta 446 yang membolehkan majikan dikenakan denda sehingga RM50,000 serta Peraturan 8 Akta Kerja 1955 yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap kesalahan," katanya.