E1 ketengah rentak retro

No Image Caption
A
A
A

MEMASUKI tahun kesembilan di arena fesyen tempatan pada 2019, Ezuwan Ismail akhirnya berjaya merealisasikan impian untuk bergelar penyanyi dengan tertubuhnya kumpulan trio E1 sejak November lalu.

Mempertaruhkan lagu berentak retro ciptaan Asfan Shah berjudul Semalam Sahaja, kumpulan berkenaan mengharap magis, tuah dan rezeki akan menyebelahi nasib mereka.

E1 yang turut dianggotai Zulyasrani dan Ariff Imran itu juga menjadi bukti kesungguhan serta kecintaan Ezuwan sendiri dalam merealisasikan impian sebagai penyanyi.

No Image Caption

Menurut Ezuwan, apa yang dilakukan kini lebih kepada membuktikan kesungguhan di pentas nyanyian dan dalam masa yang sama optimis menyatukan fesyen dan seni muzik menerusi kumpulan ini.

“Kalau dalam negara kita mahupun seantero dunia ini mungkin tidak ada pereka fesyen yang bergelar penyanyi, jadi saya ingin menyahut cabaran itu. Saya anggap ini percubaan berkongsi sedikit bakat yang ada sekali gus mencipta sejarah peribadi ‘pereka fesyen jadi penyanyi’.

“Untuk saya tampil menyanyi solo itu mungkin sesuatu yang saya sendiri gentar, lalu apabila bersama dua teman seperjuangan, Zulyasrani dan Ariff, saya rasa lebih yakin.

Artikel Berkaitan:

“Saya mahu terus kembangkan jenama fesyen menerusi platform nyanyian pula. Saya anggap ini strategi serampang dua mata kerana kumpulan E1 juga selesa memakai koleksi rekaan saya sendiri dalam setiap promosi atau acara yang dihadiri,” kata Ezuwan Mengakui proses menceburi bidang tidak semudah yang disangkakan, Ezuwan cukup menghargai segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang pembikinan single E1 ini.

“Perjalanan yang saya tempuh sejak Oktober tahun lalu dalam proses menubuhkan kumpulan E1, satu perkara yang menguji diri sekali gus mematangkan.

“Daripada proses mencari lagu dan komposer yang sesuai, kelas vokal, pemilihan anggota E1, proses rakaman lagu hingga ke pembikinan video muzik cukup memenatkan. Bukan merungut, tapi semua itu jadi pengalaman berharga,” katanya.

Menyentuh tentang rentak retro daripada zaman 70-an yang menjadi muzik pengenalan kumpulan E1, Ezuwan sendiri menyifatkan dia sendiri antara peminat muzik dari era itu.

“Lagu berentak retro memang begitu dekat dengan saya. Ia kena dengan jiwa saya dan ada ‘soul’. Sejak zaman kaset lagi, lagu lama ini mempunyai sentuhan klasik dan penuh nostalgia.

No Image Caption

Malah ketika terbabit dengan pertunjukan fesyen pun, saya suka menggunakan lagu lama sebagai latar persembahan.

“Lagi pun di Malaysia belum ada kumpulan retro sebegini. Jadi kami cuba beri suntikan lama untuk kesesuaian pasaran semasa. Cuma untuk masa mendatang, kami terbuka untuk mencuba pelbagai genre lain yang sesuai dan serasi dengan keupayaan vokal masing-masing,” katanya.

Mengharapkan single debut mereka ini diterima baik peminat, E1 dalam masa yang sama terbuka menerima kritikan.

“Saya dan anggota lain bersedia menerima kecaman. Cuma harapnya kecaman mahupun pujian itu dapat membantu memperbaiki kelemahan diri selain publisiti untuk kumpulan ini,” katanya mewakili E1.