Pas terima surat keluar parti Khairuddin

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

KOTA BHARU - Pas mengesahkan menerima surat pemberhentian keahlian daripada Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada 14 Mac lalu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, surat tersebut diterima pada jam 2.10 petang di bangunan utama Parlimen dan ia adalah sah berdasarkan salah satu kaedah yang termaktub dalam parti itu iaitu keluar parti atas permintaan diri sendiri.

“Dua lagi kaedah lain ialah dia dipecat mahupun dia menyertai parti lain. Namun tiada istilah keluar sementara. Kalau keluar, keluarlah. Kalau kekal, kekallah. Dalam Pas, tiada ahli sementara atau ahli tetap.

“Permohonan berhenti tidak memerlukan kelulusan mana-mana pihak dan jika dia mahu kembali, buat permohonan mengikut prosedur biasa dan berdasarkan keputusan parti,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Takiyuddin sebelum itu menerima sumbangan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk Program Ceria ke Sekolah tahun 2022 Parlimen Kota Bharu, di sini yang disampaikan Ketua Pegawai Perniagaan Global TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim.

Takiyuddin (tengah) menerima sumbangan daripada TNB untuk Program Ceria ke Sekolah Parlimen Kota Bharu.
Takiyuddin (tengah) menerima sumbangan daripada TNB untuk Program Ceria ke Sekolah Parlimen Kota Bharu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mohd Khairuddin mengumumkan berhenti menjadi ahli Pas berkuat kuasa pada Isnin namun menjelaskan keputusan berhenti adalah bersifat sementara.

Beliau turut memberi bayangan akan kembali kepada Pas setelah matlamat melihat Pas diuruskan dengan betul dapat dicapai.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas sentiasa meraikan ahli-ahlinya untuk berkongsi pendapat dan pandangan sebagaimana yang dinyatakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang iaitu perbezaan pendapat dalam parti adalah satu rahmat.

“Namun jika dia mendakwa dia tidak boleh bersuara dalam parti, itu merupakan pembohongan besar. Isunya, kalau kita tidak hadir mesyuarat, macam mana nak bagi pandangan.

“Dia seorang pemimpin di peringkat nasional, itu satu kenyataan yang tidak tepat,” katanya.