Penjawat awam antara tujuh ditahan curi kabel

Antara barang rampasan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes curi kabel di Baling. (gambar atas), Kereta yang disyaki digunakan suspek dalam kegiatan curi kabel di Baling, Kedah. (gambar bawah)
Antara barang rampasan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes curi kabel di Baling. (gambar atas), Kereta yang disyaki digunakan suspek dalam kegiatan curi kabel di Baling, Kedah. (gambar bawah)
A
A
A

BALING - Tujuh termasuk seorang penjawat awam ditahan disyaki terlibat dalam kegiatan curi kabel sekitar daerah ini, dalam empat serbuan berasingan sejak minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, lima daripadanya berusia lingkungan 20 hingga 41 tahun ditahan dalam dua serbuan di Kuala Ketil, pada Sabtu.

Menurutnya, seorang daripada suspek yang juga penjawat awam disyaki sedang menghisap dadah ketika diserbu.

"Susulan itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Baling melancarkan dua lagi serbuan di Merbau Pulas dan Pendang pada Selasa serta menahan dua lagi rakan subahat, termasuk seorang pengusaha barang lusuh yang dikesan membeli tembaga kabel hasil barangan curi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Shamsudin, polis turut merampas beberapa alatan termasuk playar pemotong wayar, pemotong kabel, paip PVC, gergaji, sebuah kereta dan barangan lain disyaki mempunyai kaitan dengan kes terbabit.

Katanya, suspek akan memotong kabel bawah tanah dan menggunakan tali untuk mengikat sebelum ditarik menggunakan kereta.

"Kabel kemudiannya dibawa ke tepi sungai di kawasan Kuala Lesong untuk dibakar dan diambil tembaga untuk dijual kepada pembeli dengan harga antara RM15 hingga RM18 sekilogram.

"Berat kabel yang siap diproses dianggarkan antara 40 hingga 70 kilogram setiap kali dijual di mana hasil jualan dikatakan akan dibahagikan sama rata antara suspek,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, enam suspek mempunyai rekod kesalahan lampau dan ujian air kencing didapati positif methamphetamine.

Beliau menjelaskan, selain menyebabkan kerugian tinggi, kes curi kabel juga menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan peningkatan kadar jenayah non indeks di Baling.

Katanya, dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan empat kes curi kabel sekitar daerah ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan, Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.