Ibu tunggal berhasrat buka kedai runcit

Kakak Maziha, Mastura Abdullah (kiri) membantu menyapu ubat di muka Maziha di kediamannya di sini.
Kakak Maziha, Mastura Abdullah (kiri) membantu menyapu ubat di muka Maziha di kediamannya di sini.
A
A
A

RANTAU PANJANG – Seorang wanita berharap ada pihak sudi membantunya untuk membuka sebuah kedai runcit bagi memudahkan dia memperoleh pendapatan selepas insiden wajahnya melecur akibat terkena api ketika membakar sisa banjir, dua minggu lalu.

Maziha Abdullah, 31, berkata, akibat kecederaan itu dan keadaan tubuhnya ketika ini menyukarkan dia untuk mencari pekerjaan yang sesuai.

“Diharap ada pihak sudi membantu saya untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Rumah saya sewa, kebetulan sesuai untuk saya buka kedai runcit kecil,” katanya yang tinggal di Kampung Lemal, Pasir Mas.

Ibu kepada tiga cahaya mata berusia dari 11 bulan sehingga 11 tahun itu kebetulan tidak lagi dapat melakukan kerja-kerja berat selepas melahirkan anak bongsunya secara pembedahan.

“Saya hanya mengambil upah mencuci rumah untuk mencari rezeki sebelum ditimpa insiden malang ini. Ketika kejadian, saya sedang mencuci rumah seorang saudara selepas kediamannya tenggelam akibat banjir.

"Kemudian saya membakar semua bahan tinggalan banjir dan secara tiba-tiba merasa bahang yang sangat panas pada muka saya," katanya.

Menurut Maziha, insiden tersebut secara tidak langsung tambah menyukarkan dia untuk mencari pekerjaan selepas tidak lagi boleh melakukan kerja-kerja berat.

"Saya kini seorang ibu tunggal dan perlu kuat untuk menjaga semua anak-anak saya.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, saya fikir adalah sesuai untuk saya membuka kedai runcit sebagai mata pencarian buat masa sekarang," katanya lagi.

Ujar Maziha, sekarang ini dia tinggal di rumah kakaknya di Rantau Panjang buat sementara waktu sehingga kesihatannya benar-benar sudah pulih.

Tambah wanita itu, demi kelangsungan hidup dia cuba memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).