2 maut, puluhan cedera gempa bumi kuat di timur Jepun

Kerosakan kecil berlaku pada lantai sebuah stesen kereta api di Fukushima akibat gempa bumi yang berlaku pada malam Rabu. - Foto AFP
Kerosakan kecil berlaku pada lantai sebuah stesen kereta api di Fukushima akibat gempa bumi yang berlaku pada malam Rabu. - Foto AFP
A
A
A

TOKYO - Dua orang terbunuh dan puluhan cedera dalam gempa bumi kuat yang menggegarkan sebahagian besar timur Jepun pada malam Rabu sehingga menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Penduduk dan pegawai-pegawai masih berusaha menilai kerosakan setelah gempa bumi berskala 7.4 magnitud melanda bahagian timur laut negara itu sebelum tengah malam waktu tempatan.

Amaran tsunami untuk ombak sehingga satu meter di bahagian timur laut Jepun telah ditarik balik pada awal pagi Khamis setelah pihak berkuasa mencatatkan paras air hingga 30 sentimeter iaitu lebih tinggi daripada kebiasaan di beberapa kawasan.

Laporan awal menunjukkan berlaku kerosakan agak kecil di timur laut negara itu.

Bangunan-bangunan di Jepun dibina supaya ia boleh bertahan daripada kemusnahan akibat gegaran gempa bumi yang kerap berlaku.

Pegawai di negara tersebut turut menyatakan loji nuklear Fukushima tidak terjejas berikutan gempa bumi kuat itu.

Dalam kejadian itu, seorang terbunuh di wilayah Fukushima dan seorang lagi di Miyagi, menurut Agensi Bomba dan Pengurusan Bencana dengan lebih 90 orang cedera di beberapa wilayah.

Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 60 kilometer dari pantai Fukushima dan didahului beberapa minit sebelum itu oleh satu lagi gegaran sekuat 6.1 magnitud di kawasan yang sama, kata Agensi Meteorologi Jepun. - Agensi

Artikel Berkaitan: