Anak muda di Johor perlu ambil peluang

Datuk Onn Hafiz Ghazi - Foto Bernama
Datuk Onn Hafiz Ghazi - Foto Bernama
A
A
A

PERSOALAN siapa dilantik menjadi Menteri Besar Johor terjawab pada Selasa apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi disahkan menjawat jawatan tertinggi pentadbiran kerajaan negeri itu.

Pastinya pelantikan tersebut menimbulkan sedikit kejutan kerana sebelum ini ramai yang menyangkakan kerusi tersebut akan disandang semula ADUN Benut, Datuk Seri Hasni Mohammad seperti yang diumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Namun, akhirnya Onn Hafiz, tokoh politik muda kelahiran Simpang Renggam berusia 43 tahun itu disahkan menyandang jawatan Menteri Besar Johor ke-19.

Dari segi salasilah, Onn Hafiz adalah legasi kepada Menteri Besar Johor yang pertama, Datuk Jaafar Muhammad. Moyangnya, Datuk Onn Jaafar yang merupakan pengasas dan Presiden UMNO pertama menjadi Menteri Besar Johor ketujuh pada tahun 1947 hingga 1950.

Jika bakat kepimpinan diukur dari leluhur dan darah keturunan, Onn Hafiz adalah tokoh tepat untuk menerajui kerajaan negeri Johor. Lebih-lebih lagi di negeri kelahirannya menampilkan sebilangan tokoh hebat di peringkat negeri dan nasional.

Apa yang menarik sekitar pelantikan Onn Hafiz sebagai Menteri Besar ialah usia mudanya yang signifikan dengan situasi ketika ini. PRN Johor menyaksikan buat pertama kali pemilih berusia seawal 18 tahun berpeluang keluar mengundi.

Kehadiran watak-watak baharu dan muda dalam arena politik tanah air pastinya menjadi lebih bermakna dengan kehadiran seorang Menteri Besar yang mempunyai jurang usia tidak jauh dengan mereka. Sekurang-kurangnya isu jurang generasi dapat diselesaikan.

Diharapkan juga, penglibatan anak-anak muda dalam politik dan pentadbiran dapat dipertingkatkan dengan kedudukan Onn Hafiz sebagai Menteri Besar, lebih-lebih lagi beliau mempunyai pengalaman sebagai Exco Pelancongan, Belia dan Sukan negeri Johor sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Justeru, anak muda tanpa mengira kecenderungan politik perlu mengambil kesempatan ini untuk ‘meremajakan’ Johor dengan idea-idea baharu dan segar, sekali gus melonjakkan negeri selatan tanah air itu ke tahap membanggakan.