Saarani sangkal dakwaan abai kebajikan keluarga mangsa runtuhan kuari

Saarani (dua dari kanan) meninjau operasi mencari dan menyelamat dua pekerja yang dikhuatiri tertimbus di lokasi runtuhan kuari Keramat Pulai Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada Rabu. -Foto Bernama
Saarani (dua dari kanan) meninjau operasi mencari dan menyelamat dua pekerja yang dikhuatiri tertimbus di lokasi runtuhan kuari Keramat Pulai Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada Rabu. -Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyangkal dakwaan bahawa kerajaan negeri itu mengabaikan bantuan kebajikan kepada keluarga dua mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini.

Beliau berkata, pegawai khasnya dan Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik telah menyalurkan pelbagai bantuan yang diperlukan oleh keluarga mangsa sejak insiden itu berlaku pada Selasa lalu.

"Saya juga menerima maklumat bahawa pemilik syarikat kuari juga telah menyampaikan sendiri bantuan dalam bentuk wang tunai kepada keluarga mangsa.

"Jadi sekiranya bantuan yang diberikan setakat ini tidak mencukupi, mereka boleh melaporkan kepada Pegawai Daerah dan jika ia di luar kemampuan, Menteri Besar akan ambil tindakan tetapi setakat ini, saya yakin semua keperluan kebajikan keluarga mangsa telah diberi perhatian yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari kesembilan di lokasi kejadian dengan diiringi Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid pada Rabu.

Saarani juga berkata, permintaan keluarga seorang daripada mangsa yang ingin menyertai operasi itu tidak dapat dipenuhi atas faktor keselamatan.

"Kita tidak dapat membenarkan sesiapapun melainkan orang tertentu yang dikenal pasti adalah pakar dalam kerja-kerja menyelamat ini, itu pun kita minta mereka berhati-hati sebab runtuhan dikesan berlaku beberapa kali sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat menggunakan alat pengesan logam bagi mengesan kedudukan jengkaut yang tertimbus.

"Bagaimanapun, saya menerima maklumat sebentar tadi akan berlaku gangguan pengesanan kerana kawasan ini juga dikenal pasti berpotensi terdapat bijih besi, jadi kita takut alat pengesan logam itu tidak dapat mengesan kedudukan jengkaut tetapi mengesan bijih besi.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 13 letupan terkawal dilakukan bagi membolehkan laluan dan ruang untuk tujuan pengesanan logam tetapi setakat ini, masih belum dapat apa-apa, kemungkinan ia mengambil masa yang amat panjang," katanya.

Insiden yang berlaku pada jam 9.15 pagi itu menyebabkan dua lelaki dipercayai tertimbus iaitu Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43, manakala dua lagi rakan sekerja mereka iaitu Mohd Razli Suhaimi, 35, patah tulang kaki serta Pan Tam, 38, cedera ringan. - Bernama