Masa depan MAS akan ditentukan segera

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masa depan dan nasib Malaysia Airlines Berhad (MAB) akan diputuskan segera, malah kerajaan memberi jaminan akan membuat satu keputusan strategik hasil daripada penilaian pencapaian syarikat penerbangan negara itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, buat masa ini kerajaan sedang meneliti opsyen yang boleh dilaksanakan untuk membantu perkhidmatan dan pencapaian MAB.

“Pertama, pihak kerajaan telah melihat opsyen yang boleh dilaksananakan untuk membantu perkhidmatan dan pencapaian, bagaimanapun, setakat ini kerajaan tak buat sebarang keputusan lagi, tapi keputusan strategik perlu dimuktamadkan pada masa akan datang.

“Tiada had masa untuk pertimbangan ini, tapi apa yang penting kita akan putuskan masa depan MAB secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata, kerajaan menyedari MAB sedang berdepan kesukaran, jadi elok untuk kerajaan dan MAB untuk buat keputusan dalam kadar segera.

Anthony berkata, buat masa ini tiada maklumat berkenaan pihak dalam dan luar negara yang berminat untuk membeli syarikat penerbangan negara tersebut.

“Saya tak tahu, proposal pihak yang berminat nak beli MAB. Mereka berurusan secara langsung dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” dedahnya.

Dalam perkembangan lain, Anthony menegaskan Kementerian Pengangkutan memberi tempoh 30 hari untuk Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) untuk menyiasat kematian kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39.

Artikel Berkaitan:

Mangsa parah selepas kereta unit kejuruteraan MAHB dipandunya dirempuh sebuah pesawat swasta milik seorang jutawan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS) dalam kejadian 18 Mac lalu.

“Siasatan BSKU sudah dimulakan dan dijangka laporan ini akan lengkap dalam tempoh 30 hari.

“Selepas itu, kita akan nilai siapa yang perlu bertanggungjawab atas kemalangan ini, sekarang belum boleh buat sebarang kesimpulan lagi, tapi Kementerian Pengangkutan akan memantau perincian perkara ini, laporan ini akan diserahkan kepada saya nanti,” katanya.