Pendakwaan mahu kes Rizal, Rosmah dibicarakan bersama

A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan telah memfailkan permohonan untuk kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan kes rasuah bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor dibicarakan bersama.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan memaklumkan perkara itu semasa sebutan semula kes tersebut di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Mohamed Zaini menetapkan 24 April untuk sebutan semula kes bagi mengetahui status terkini kes Rosmah, 67, dan Rizal, 45.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Rosmah ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu berkata hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan bagi perbicaraan bersama semua kes itu (rasuah dan pengubahan wang haram).

"Tetapi ia tidak dapat dijalankan kerana hanya kes melibatkan pengubahan wang haram dan kegagalan Rosmah mengisytiharkan pendapatannya ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sahaja yang telah didaftarkan di hadapan hakim Mohamed Zaini.

Kes rasuah melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak melibatkan Rosmah, belum diketahui statusnya," katanya.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah yang juga diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Datuk K. Kumaraendran mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang di sini antara 4 Disember 2013 dan Jun 8 Jun 2017 dan di LHDN, di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, dia didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan beliau bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan.

Bagi kes melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta, dua tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rizal yang diwakili peguam Ridha Abdah Subri mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah, berjumlah RM5.5 juta, melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Kesemua pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 10 kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia