X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

'Buat keputusan bijak keluar wang KWSP'

Aminuddin
A
A

SEREMBAN - Masyarakat dinasihatkan membuat keputusan bijak berhubung kebenaran kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebaiknya hanya mereka yang benar-benar memerlukan sahaja membuat pengeluaran dan bukan diambil kesempatan oleh semua pencarum.

"Kepada yang benar-benar memerlukan keluarkanlah dan gunakanlah wang KWSP itu dengan bijaksana.

"Jika tidak memerlukan, saya rasa bersabarlah dulu, jangan keluar ketika diusia muda. Lagipun dividen KWSP yang baharu diumumkan agak baik dan saya harap kita kena bijaksana hadapi hari tua nanti," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman kerajaan yang membenarkan pencarum KWSP membuat pengeluaran khas RM10,000.

Menurut Aminuddin, masyarakat diharap terdidik dengan pengurusan kewangan yang baik bagi menjamin kehidupan yang lebih baik selepas hari persaraan.

Bagaimanapun beliau berkata, bagi sesetengah orang, wang KWSP itu amat perlu terutama buat mangsa-mangsa banjir baru-baru ini yang kehilangan banyak harta benda.

Sebelum itu media melaporkan, kerajaan bersetuju membenarkan pencarum KWSP membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000.

Dalam sidang media khasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

"Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.

"Justeru, hari ini kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000," katanya menerusi pengumuman yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen pada Rabu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!