Temui ajal ketika turun dari Gunung Tahan

Mayat mangsa dibawa turun menggunakan helikopter polis dan tiba di padang awam Kuala Lipis kira-kira jam 2.45 petang pada Rabu sebelum dihantar ke Hospital Lipis.
Mayat mangsa dibawa turun menggunakan helikopter polis dan tiba di padang awam Kuala Lipis kira-kira jam 2.45 petang pada Rabu sebelum dihantar ke Hospital Lipis.
A
A
A

LIPIS - Seorang pendaki meninggal dunia di Kem Kor, Gunung Tahan ketika dalam perjalanan turun dari puncak gunung itu di sini pada Rabu.

Mangsa, Raja Azlan Shah Raja Abdul Aziz, 51, dari Petaling Jaya Selangor sebelum itu mengalami cirit-birit selama dua hari hingga kehabisan tenaga untuk meneruskan perjalanan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah hari

Menurutnya, mayat mangsa dibawa turun menggunakan helikopter polis dan tiba di padang awam Kuala Lipis kira-kira jam 2.45 petang sebelum dihantar ke Hospital Lipis.

"Berdasarkan maklumat, mangsa seorang peniaga bersama 11 lagi pendaki dari Selangor memulakan pendakian pada Sabtu lalu dengan dipandu arah dua malim gunung.

"Kumpulan tersebut dijangka kembali ke pintu masuk Gunung Tahan di Kuala Juram hari ini (Rabu) namun mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan turun kira-kira 13 kilometer dari lokasi itu," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Azli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 8.45 pagi dari pihak bomba.

"Rakan mangsa menghubungi pihak bomba untuk bantuan menyelamat ekoran keadaan lelaki tersebut yang ketika itu berada dalam keadaan terlalu lemah.

Artikel Berkaitan:

"Susulan maklumat itu, operasi menyelamat segera digerakkan bersama pihak bomba dan Perhilitan dengan kekuatan 12 anggota termasuk pegawai selain dibantu dua malim gunung," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga meminta bantuan helikopter polis untuk operasi tersebut.