70 titik panas dikesan di Pahang

ROSLI
ROSLI
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 70 titik panas dikesan dari awal bulan ini sehingga semalam disebabkan keadaan cuaca panas, selain aktiviti pembakaran terbuka yang tidak terkawal oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Rosli Zul berkata, jumlah terbabit menunjukan peningkatan mendadak berbanding hanya 26 titik panas yang direkodkan sepanjang Februari lalu.

Menurutnya, kemungkinan peningkatan itu berlaku berpunca daripada pembakaran terbuka di kawasan ladang, belukar dan tanah gambut.

“Kalau ikutkan rekod daerah Pekan paling banyak titik panas iaitu sebanyak 34, diikuti Rompin 21, Jerantut (5), Temerloh, Kuantan, Lipis dan Temerloh masing-masing dua titik panas serta Bera dan Bentong satu titik panas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, keadaan cuaca panas dan kering, selain ketiadaan hujan yang berpanjangan boleh menyebabkan titik panas ini aktif.

“Bila tidak ada hujan sememangnya akan menyumbang kepada berlakunya peningkatan bilangan titik panas.

“Peningkatan titik panas ini juga berpunca daripada kes-kes pembakaran terbuka sama ada yang disengajakan ataupun tidak disengajakan serta seterusnya memberi kesan kepada kualiti udara yang boleh mengakibatkan jerebu," katanya.

Dalam pada itu, Rosli meminta penduduk di seluruh negeri ini supaya tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim panas kerana dikhuatiri ia akan menjejaskan kualiti udara setempat.

Artikel Berkaitan:

Disamping itu, beliau juga mahu orang ramai dan syarikat perladangan agar lebih bertanggungjawab untuk tidak membuat pembakaran terbuka secara berleluasa.

“Jika mereka masih melakukan, pihak berkaitan mengambil tindakan undang-undang dengan mengheret mereka ke mahkamah," katanya.

Tegasnya, melakukan pembakaran terbuka adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000 atau denda RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Orang ramai diminta melaporkan segera ke JAS ditalian bebas tol 1-800-88-2727 sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai individu memulakan pembakaran sehingga menyebabkan kebakaran merebak ke kawasan lebih besar terutama di kawasan belukar dan hutan.