KSM sasar Tahfiz-TVET dilaksana seluruh negara

KSM menyasarkan semua pusat tahfiz swasta dan awam di Malaysia dilengkapi dengan model latihan Tahfiz-TVET bagi membentuk laluan kerjaya kepada pelajarnya. - Gambar hiasan
KSM menyasarkan semua pusat tahfiz swasta dan awam di Malaysia dilengkapi dengan model latihan Tahfiz-TVET bagi membentuk laluan kerjaya kepada pelajarnya. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyasarkan semua pusat tahfiz swasta dan awam di Malaysia dilengkapi dengan model latihan Tahfiz-Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi membentuk laluan kerjaya kepada pelajarnya.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, model latihan Tahfiz-TVET yang dilancarkan pada Rabu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran pelajar tahfiz dalam pelbagai bidang TVET di samping menyediakan pekerja berkemahiran bagi menuju ke arah negara industri.

Beliau berkata, pihaknya melalui Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) telah menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz-TVET yang membantu dan menasihati institusi tahfiz dalam memperkasakan kurikulum, bahan pengajaran dan pembelajaran serta pegawai dan persijilan melalui Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).

"Jawatankuasa ini juga akan mengenal pasti keperluan semasa program TVET di institusi tahfiz dan menasihati bagi program yang sesuai. Ia juga untuk memperkukuhkan serta memperkasakan latihan TVET melibatkan tahfiz negara.

"Kita (tahfiz awam dan swasta) ada di merata tempat. Pusat tahfiz yang ada aliran TVET dalam negara kita ini banyak tapi tidak ada pengurusan secara formal. Dan sekarang kita sedang bergerak ke arah menyeragamkan semua pusat tahfiz yang ada dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata pada sidang akhbar selepas melancarkan Tahfiz-TVET Malaysia antara Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) KSM dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Sementara itu, Hakimah berkata, sehingga kini terdapat 1,177 pusat tahfiz swasta berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri dan 100 daripadanya telah melaksanakan Tahfiz-TVET.

Dalam perkembangan lain, Awang berkata, pihaknya kini dalam proses mendapatkan penarafan tunggal sijil kemahiran antara tahap enam hingga lapan bagi melestarikan pendidikan pelajar TVET.

"Setakat ini, kita sudah dapat sehingga tahap lima (setara Diploma Lanjutan Kemahiran) dan kalau boleh dapatkan tahap enam (setara Ijazah Sarjana Muda) juga kepada Tahfiz-TVET ini. Kita mahu TVET menjadi pilihan awal kepada ibu bapa berbanding sebelum ini dianggap sebagai peluang akhir dalam tahap pendidikan formal mereka," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: