Cubaan seludup 10.06kg syabu guna kurier gagal

Thiam Huat (tengah) menunjukkan syabu yang berjaya dirampas dalam serbuan berasingan di Penampang dan Tenom.
Thiam Huat (tengah) menunjukkan syabu yang berjaya dirampas dalam serbuan berasingan di Penampang dan Tenom.
A
A
A

KOTA KINABALU - Taktik menyeludup dadah ke Sabah dengan menggunakan syarikat kurier gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila polis berjaya merampas lebih 10 kilogram syabu di sekitar Penampang dan Tenom, baru-baru ini.

Rampasan dadah bernilai hampir RM400,000 itu dibuat pada 10 dan 13 Mac lalu manakala seorang suspek lelaki berusia 29 serta seorang wanita berusia 28 tahun turut ditahan dalam serbuan berasingan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (KJSJN) Sabah, Asisten Komisioner Lam Thiam Huat berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 12.30 tengah hari pada 10 Mac lalu di hadapan sebuah perumahan di Kapayan.

"Terdapat seorang lelaki warga asing yang dilihat sedang memegang sebuah kotak dan berlaku sedikit pergelutan apabila ternampak kehadiran polis di lokasi.

"Suspek kemudian berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan di dalam kotak mengandungi 6.03 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM240,000," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada Rabu.

Mengulas lanjut, hasil siasatan terhadap suspek pada hari yang sama pihaknya bertindak menyerbu rumah sewa suspek di Penampang.

"Serbuan dibuat pada jam 6.30 petang dan hasil petunjuk daripada suspek, kita berjaya merampas 3.02 kilogram syabu bernilai RM120,000 bersama pasport suspek," katanya.

Tambah Thiam Huat lagi, suspek kemudian turut mendedahkan ada satu lagi kiriman dadah tiba di Tenom pada 14 Mac.

Artikel Berkaitan:

"Pada jam 2.15 petang, sepasukan polis dari IPK Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom menjalankan pemeriksaan di sebuah pejabat pos dan hasil pemeriksaan kod kiriman yang diperoleh daripada suspek berjaya menuntut sebuah kotak kiriman.

"Hasil pemeriksaan terhadap kotak kiriman itu berjaya merampas 1.017 kilogram syabu bernilai RM36,000 dan hasil siasatan lanjut terdapat satu lagi tangkapan di Tenom pada hari yang sama kira-kira jam 7.30 malam, membabitkan seorang wanita tempatan berusia 28 tahun," katanya.

Katanya lagi, jumlah keseluruhan rampasan bagi ketiga-tiga serbuan itu adalah sebanyak 10.06 kilogram syabu bernilai hampir RM400,000.

"Polis juga turut merampas beberapa aset suspek termasuk kereta, dua motosikal, satu rantai emas serta sedikit wang dengan jumlah keseluruhan termasuk syabu hampir RM500,000.

"Dadah ini dipercayai dibawa masuk ke Sabah melalui perkhidmatan kurier dari Semenanjung untuk pasaran tempatan dan mampu menampung sehingga 50,000 penagih.

"Selain itu, kita percaya dadah ini untuk dihantar ke negara jiran kerana nilai pasaran yang tinggi di luar negara namun siasatan masih diteruskan termasuk mengesan dua lagi suspek dalam sindiket ini," katanya.

Sebelum itu, beliau memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.