Perhilitan pasang perangkap jejak harimau dalam ladang sawit

Tangkap layar video tular memaparkan seekor harimau berada di sebuah ladang kelapa sawit di daerah Dungun.
Tangkap layar video tular memaparkan seekor harimau berada di sebuah ladang kelapa sawit di daerah Dungun.
A
A
A

DUNGUN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memasang perangkap bagi menjejaki seekor harimau belang susulan aduan mengatakan haiwan berkenaan berada di sebuah ladang sawit di daerah itu.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, siasatan telah dijalankan setelah pihaknya menerima aduan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Hulu Paka berhubung kehadiran haiwan pemangsa itu di lokasi berkenaan pada Selasa.

"Kakitangan Perhilitan telah menyiasat aduan itu dan mendapati ia sahih. Pihak Perhilitan akan memasang perangkap hari ini (Rabu) bagi menjejaki haiwan berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Rabu.

Dalam pada itu, Kean Seong berkata, tiada bukti menunjukkan harimau itu adalah harimau sama yang cuba menyerang seorang penghantar makanan dalam kejadian di Taman Bersekutu dekat Kampung Paya Dusun, di sini pada 9 Mac lalu.

Beliau sebaliknya meminta orang awam supaya segera memaklumkan sebarang penemuan haiwan liar kepada pihak Perhilitan bagi memudahkan tindakan diambil.

Katanya, orang ramai diminta segera beredar dari kawasan terbabit sekiranya terserempak dengan sebarang haiwan liar.

"Jangan kacau, jangan mendekati dan melakukan sebarang provokasi atau duduk di kawasan itu dalam tempoh yang lama untuk merakam gambar.

"Cukuplah sekadar mengenal pasti kawasan dan segera maklumkan kepada pihak Perhilitan kerana kami akan mengambil tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa tular dua video berserta audio suara memaparkan seekor harimau belang yang dikatakan berada di sebuah ladang sawit dekat Ketengah Jaya, di sini.