Larangan tangkapan ikan temoleh, kelisa di Tasik Kenyir

Ruzaidi (dua dari kanan) ketika pelepasan benih ikan dan udang di Sungai Leban Kerbat, Tasik Kenyir, pada Selasa.
Ruzaidi (dua dari kanan) ketika pelepasan benih ikan dan udang di Sungai Leban Kerbat, Tasik Kenyir, pada Selasa.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Penguatkuasaan dijalankan secara berkala bagi memastikan tidak berlaku tangkapan bagi dua spesies ikan yang dilarang tangkap tanpa permit iaitu spesies temoleh dan kelisa di Tasik Kenyir.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, penguatkuasaan dijalankan Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan Terengganu serta beberapa pihak penguatkuasa lain.

"Sebelum ini kita ada menerima beberapa aduan berkenaan aktiviti menangkap ikan tanpa kawalan di kawasan Tasik Kenyir. Pihak jabatan ada membuat siasatan serta rondaan di kawasan terlibat.

"Penguatkuasaan itu antara lain dilakukan bagi melindungi dua spesies ikan berkenaan yang disenarai dalam Jadual Pertama, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Pindaan 1993) di bawah Kaedah 3 (4) iaitu jenis ikan yang dilarang tangkap tanpa permit," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Ruzaidi menegaskan, sebarang aktiviti tangkapan ikan perlu mendapat kelulusan bagi mengelak spesies berkenaan terancam dan pupus.

"Tasik Kenyir di bawah kawalan Ketengah dan aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan menangkap ikan perlu mempunyai lesen mengikut Kaedah- Kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu," katanya.

Ruzaidi sebelum itu menyertai aktiviti pelepasan 157,000 ekor benih ikan lampam sungai, baung dan udang galah ke perairan Sungai Leban Kerbat, di sini pada Selasa bagi tujuan penambahan sumber perikanan.

Peningkatan sumber itu dijangka akan memberi manfaat kepada 21 nelayan darat (sepenuh masa dan sambilan) yang berdaftar di bawah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu serta aktiviti eco-pelancongan di Tasik Kenyir.

Artikel Berkaitan: