Jufazli dibebas esok: Peguam

Syed Amirul ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Dang Wangi.
Syed Amirul ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Dang Wangi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktivis politik, Jufazli Shi Ahmad yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung 'serangannya' terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dibebaskan esok.

Peguamnya, Syed Amirul Syed Edros berkata, permohonan reman terhadap Jufazli telah diperoleh selama satu hari selepas penahanannya semula.

Menurutnya, untuk kes ini Jufazli telah ditahan Sabtu lalu bagi tangkapan pertama dan mahkamah majistret telah membenarkannya reman selama lima hari.

"Jufazli sepatutnya dibebaskan semalam, namun selepas dibebaskan dia telah ditahan semula di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tangkapan kedua.

"Hari ini kita (peguam) telah pergi untuk permohonan reman di hadapan majistret di dalam lokap IPD Dang Wangi.

"Permohonan diminta pegawai polis adalah selama empat hari, namun selepas kami berhujah hampir setengah jam, reman diperoleh hanya satu hari," katanya kepada pemberita di hadapan IPD Dang Wangi, hari ini.

Beliau menjangkakan Jufazli akan dibebas tengah hari esok selepas 24 jam.

Katanya, Jufazli akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas tentang keadaan anak guamnya, Syed Amirul berkata, Jufazli dalam keadaan baik dan tiada sebarang bentuk keganasan yang berlaku terhadapnya.

"Pihak polis juga memberi kerjasama yang baik kepada kami," katanya.

Terdahulu, dalam siaran langsung di laman Facebooknya, aktivis berusia 30 tahun itu menunjukkan sekurang-kurangnya empat anggota polis di rumahnya yang datang untuk menahannya, kira-kira jam 4 pagi di rumahnya di Cheras.

Dalam video tersebut, kenyataan terbukanya telah menuduh Dr Mahathir melakukan pelbagai jenayah termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa.