Sila log masuk terlebih dahulu.

Sukan Komanwel: PABM buru tiga emas di Birmingham

Aznil menjadi sandaran skuad angkat berat negara meraih emas pada Sukan Komanwel Birmingham.
Aznil menjadi sandaran skuad angkat berat negara meraih emas pada Sukan Komanwel Birmingham.
A
A
A

PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) menyasarkan tiga pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 dari 28 Julai hingga 8 Ogos, menerusi tujuh atlet yang berjaya melayakkan diri ke temasya sukan berkenaan.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau optimis dengan semangat dan pasukan baharu yang dibentuk melalui penstrukturan semula barisan kejurulatihan serta atlet sejak awal tahun ini, mereka mampu bangkit seterusnya menyinar di peringkat antarabangsa.

"Apabila pasukan ini dibubar pada Oktober lepas, kita ada pasukan ad hoc dan sementara melibatkan tiga atlet yang dihantar ke Uzbekistan untuk kelayakan sukan Komanwel, dengan dua daripadanya telah layak. Lima lagi atlet turut dihantar ke satu kejohanan di Singapura dan kesemua mereka layak secara merit.

"Kita menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pingat emas menerusi Mohamad Aniq Kasdan bagi kategori 55 kilogram (kg), Muhammad Aznil Bidin (61kg) dan Muhammad Erry Hidayat (73kg)," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kejohanan Angkat Berat Remaja, Junior dan Senior Kebangsaan 2022 yang dirasmikan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam di Dewan Alamanda Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) pada Selasa.

Ayub berkata, PABM juga komited dengan meletakkan hala tuju jelas bagi menangani isu doping yang menghantui atlet sebelum ini dengan meminda perlembagaan persatuan dan merangka peraturan tertentu di samping mengenakan tindakan tegas terhadap pihak terbabit dengan masalah tersebut.

Beliau berkata, persatuan itu juga menetapkan setiap kejohanan termasuk di Melaka pada kali ini melakukan ujian air kencing dengan menjemput Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) selain pemeriksaan di setiap pusat latihan dilakukan secara berkala dan mengejut agar atlet sentiasa dalam keadaan bersih sekali gus terhindar daripada masalah doping.

"Disebabkan ada juga yang degil dan sebagainya kita telah ambil tindakan tegas, itu antara sebab pasukan kebangsaan dibubarkan tahun lepas kerana kita mahu beri nafas baharu dan beri kesedaran kepada atlet supaya tidak menganggap mereka adalah bintang.

Artikel Berkaitan:

"Persatuan tidak akan mengambil mereka walaupun berpotensi kerana kita mahu tunjukkan atlet sukan angkat berat ini selain cemerlang, mereka juga perlu mempunyai reputasi baik dari segi pandangan rakyat Malaysia," katanya.

Ayub berkata, walaupun jumlah atlet dalam pasukan kebangsaan pada masa kini tidak ramai, beliau percaya atlet yang ada adalah berkualiti dan mempunyai potensi selain terdapat aku janji antara atlet mengenai keperluan dan tindakan perlu dilakukan mereka supaya tidak terlibat dengan isu doping. - Bernama