Cadangan IPT tidak adakan peperiksaan Jumaat hingga Ahad akan diteliti

Noraini
Noraini
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi diminta membuat perbincangan secara terperinci dengan pihak universiti berhubung cadangan agar institut pengajian tinggi (IPT) tidak mengadakan peperiksaan pada hari Jumaat hingga Ahad.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihak kementerian membenarkan IPT melalui Senat mereka untuk merancang dan melaksanakan peperiksaan masing-masing mengikut kesesuaian.

"Yang Berhormat Tuaran (Datuk Seri Madius Tangau) ada menyuarakan pandangan agar IPT tidak mengadakan peperiksaan pada hari Jumaat hingga Ahad. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) amat menyambut baik cadangan tersebut.

"Tetapi untuk makluman Yang Berhormat, sistem peperiksaan di IPT tidak berpusat sebagaimana peperiksaan awam yang lain seperti Sijil Pelajaran Malaysia. Semua IPT mempunyai takwim akademik yang berbeza," katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Tawau akan dinaik taraf dan beroperasi sebagai kampus penuh (full-fledge campus) menjelang tahun 2025.

Noraini berkata kampus itu akan menawarkan kursus-kursus yang bersesuaian dan kursus sepenuh masa, sekali gus mereka yang berada di Sabah tidak perlu merantau ke kawasan lain.

Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika menggulung perbahasan usul sama bagi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pula memaklumkan gangguan elektrik di Sabah berpunca daripada masalah pada peringkat sistem pengagihan sebanyak 97.7 peratus diikuti penjanaan (1.5 peratus) dan penghantaran (0.8 peratus).

Beliau berkata antara faktor yang menyumbang kepada gangguan bekalan elektrik pada peringkat pengagihan adalah gangguan binatang liar, pokok-pokok yang mengganggu kabel, kerosakan kabel dan lebihan beban yang berpunca daripada sambungan haram.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mengurangkan kadar Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI) di Sabah, KeTSA telah menubuhkan satu pasukan petugas khas yang diterajui oleh Suruhanjaya Tenaga dan turut dianggotai oleh pegawai KeTSA, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), wakil industri dan pakar teknikal bertanggungjawab untuk merangka pelan tindakan ke arah penurunan SAIDI Sabah pada 2025," katanya.

Takiyuddin berkata KeTSA menyasarkan SAIDI di negeri itu dapat dikurangkan kepada 150 minit menjelang tahun 2025 berbanding 332 minit yang dicatatkan tahun lepas.

Persidangan dewan bersambung esok.