Dasar negara tak iktiraf pemilikan dua kewarganegaraan

Tan Sri Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
Tan Sri Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa sebarang laporan mengenai kesalahan warganegara Malaysia yang memiliki dua kewarganegaraan perlu disertakan bukti relevan.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan yang tidak disertakan bukti akan menyebabkan fail siasatan tidak kukuh dan tindakan seterusnya tidak dapat dijalankan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Kalau ada maklumat tepat, JPN akan menyiasat dan kalau terbukti seseorang itu melanggar peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan maka dia boleh dilucutkan hak kewarganegaraan Malaysia.

“Kita mesti ada bukti kukuh kerana ini melibatkan isu besar berkaitan hak sebagai warganegara dan apa yang termaktub dalam perlembagaan, jadi kita perlu lebih berhati-hati,” katanya pada sidang media di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

Muhyiddin mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan yang melaporkan bahawa warga Thailand mempunyai kad pengenalan Malaysia sejak 1980-an.

Dalam laporan itu, warganegara Thailand yang berkahwin di negara ini akan mendaftarkan kelahiran anak mereka bagi membolehkan golongan itu memperoleh kad pengenalan dari Malaysia.

Ia bagi memudahkan mereka tinggal di negara ini dan berulang alik ke Thailand tanpa sekatan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Muhyiddin menegaskan bahawa dasar kerajaan negara ini tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan.

Artikel Berkaitan:

“Seorang warganegara Malaysia boleh diambil tindakan perlucutan kewarganegaraan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan jika didapati bersalah.

“Seseorang tak boleh pegang dua kewarganegaraan kerana ia bermakna kesetiaan berbelah bagi dan boleh mengundang pelbagai masalah,” katanya.

Pada masa sama beliau turut menafikan bahawa kerajaan pernah membenarkan warganegara ini memiliki dua kewarganegaraan ketika era 80an.

“Kita dah 20an apa nak tanya yang dulu, kita ikut perlembagaan dan sejak dulu begitu,” katanya.